TAWAU: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui menggesa kerajaan agar melaksanakan kaedah pembangunan yang lebih proaktif, termasuk penglibatan pihak swasta, supaya rakyat dapat menikmati kemudahan awam dengan lebih cepat.
Beliau menegaskan kelewatan projek asas seperti hospital, klinik, balai polis dan balai bomba yang mengambil masa sehingga puluhan tahun sering menyebabkan fasiliti berkenaan tidak lagi menampung keperluan semasa sebaik sahaja siap dibina.

“Sekarang apa yang berlaku, pembinaan klinik atau hospital ambil masa sampai 30 hingga 40 tahun sebelum rakyat dapat manfaat. Contohnya, Hospital Tawau baharu siap tetapi kapasiti sedia ada sudah tidak cukup untuk menampung jumlah pesakit.
“Jangan biarkan kelewatan pentadbiran menjadi beban kepada rakyat. Saya cadangkan model baharu termasuk penglibatan swasta melalui inisiatif pembiayaan persendirian (PFI) atau sistem sewaan, asalkan memberi manfaat segera kepada rakyat,” katanya.

Lo berkata demikian selepas merasmikan penyerahan dua mesin berkapasiti tinggi ,Biochemistry Analyzer dan Auto Hematology Analyzer ,kepada Klinik Kesihatan Tawau, semalam.
Selain mesin perubatan, beliau turut menyumbangkan kemudahan sokongan seperti tapak parkir berturap, ruang menunggu berbumbung dan laluan pejalan kaki berbumbung bagi keselesaan pesakit, khususnya warga emas.
Menurutnya, Klinik Kesihatan Tawau adalah antara klinik terbesar di Sabah dengan kedatangan pesakit harian mencecah 1,000 hingga 1,300 orang, sekali gus memerlukan penambahbaikan berterusan.
“Ini semua usaha berterusan supaya pesakit mendapat rawatan dalam keadaan lebih selesa dan teratur. Kita juga mengambil kira pandangan pihak klinik sendiri yang berdepan kesesakan saban hari,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, mesin baharu itu meningkatkan kapasiti ujian makmal kepada 1,000 ujian sehari, berbanding hanya 400 hingga 500 ujian sebelum ini.
“Dengan mesin ini, masa menunggu pesakit dapat dipendekkan daripada dua hingga tiga jam kepada hanya sekitar satu jam. Begitu juga kemudahan parkir dan laluan berbumbung yang menyelesaikan masalah pesakit terpaksa menunggu dalam keadaan panas atau hujan,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment