TONGOD: Kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembangunan di bawah inisiatif kerajaan negeri akan disenarai hitam daripada melaksanakan sebarang projek melalui Pejabat Daerah, tegas Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, tindakan itu perlu diambil kerana kegagalan kontraktor menyiapkan projek sering kali membebankan pemimpin tempatan apabila rakyat menyalahkan wakil rakyat atas kelewatan tersebut.
“Ini melibatkan kepentingan rakyat, jadi tidak wajar ada lagi kompromi. Jika projek tidak siap, yang dipersalahkan YB. Maka senarai hitam adalah pilihan terakhir,” katanya ketika majlis ringkas penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada empat keluarga di Kampung Purutawoi, Tongod, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menyeru agar Pejabat Daerah Tongod sebagai agensi pelaksana utama turut menyokong langkah itu demi memastikan rakyat menerima manfaat sepenuhnya daripada projek kerajaan.
Selepas majlis tersebut, beliau bersama rombongan turut melawat tapak pembinaan Rumah Mesra SMJ di Kampung Seri Menanti, Penangah, yang dibina khas untuk mangsa kebakaran tahun lalu. Turut hadir Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail, serta beberapa pemimpin tempatan.
— TAMAT

























Add Comment