KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata beliau akan mengumumkan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) apabila tiba masa yang sesuai.
Timbalan Ketua Menteri itu menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, baru-baru ini yang memberi bayangan bahawa Shahelmey akan menyertai pasukannya.
“Hala tuju saya pada PRN17 ini akan saya buat pada suatu masa yang saya rasa sesuai kelak,” katanya.

Pada Ahad lalu, Hajiji memberitahu media bahawa Shahelmey bakal bersama pasukannya pada PRN17 ketika ditanya mengenai kedudukan Menteri Kerja Raya negeri itu dalam satu program di Putatan. Kenyataan itu ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa Shahelmey akan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan beliau.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, beliau menghargai kenyataan Ketua Menteri dan menyifatkannya sebagai satu perakuan terhadap sokongan beliau kepada kepemimpinan Hajiji serta kerajaan GRS–Pakatan Harapan (PH) Plus yang ada sekarang.
“Saya juga menyambut baik keterbukaan dan penerimaan Ketua Menteri terhadap kehadiran saya,” katanya.
Shahelmey kini berdepan dilema selepas digantung keahlian UMNO Sabah sejak tahun lalu, selain berisiko kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Putatan jika bertanding pada PRN17 atas tiket parti lain.
— TAMAT

























Add Comment