KOTA KINABALU: Daerah Kunak berpotensi menjadi destinasi dan tumpuan pelancong kerana banyak lokasi yang menarik boleh dikunjungi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, Kunak mempunyai khazanah tersembunyi yang boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan.
Katanya, banyak pulau-pulau serta pantai yang cantik di Kunak perlu dipromosikan bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
“Ramai yang tidak menyedari, Kunak juga mempunyai kawasan air panas dan air terjun yang masih belum dipromosikan.
“Justeru, saya menyeru kepada pemain industri pelancongan di Semporna untuk memasukkan pakej mereka melawat ke daerah Kunak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif, di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Norazlinah meminta bantuan Christina untuk meremajakan industri pelancongan di Kunak dengan menambah baik kemudahan infrastruktur pelancongan di daerah itu.
Christina menjelaskan Kunak menawarkan pilihan pelancongan berbentuk santai dan pengembaraan termasuklah merasai pengalaman di Gua Madai yang menjadi tempat tinggal habitat burung walit serta Air Terjun Madai.
“Selain itu, Pulau Boheyan, Pulau Maganting, Pulau Kun Kun, dan Pulau Pasir mempunyai panorama yang menarik setanding dengan pulau-pulau lain di negeri ini,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment