SEMPORNA: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Senallang komited membantu kepemimpinan bahagian dalam usaha mendekati rakyat dan menggempur kubu parti lawan di kawasan ini.
Ketuanya, Dr Mohd Saifullah Mohd Hisham berkata, langkah proaktif sedang diatur bersama kepemimpinan bahagian yang diketuai Azis Abdul Hamid bagi meningkatkan sokongan terhadap Gagasan Rakyat.
Katanya, walaupun Senallang dan dua lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Semporna dikuasai Parti Warisan (WARISAN), pendekatan proaktif Gagasan Rakyat mendekati rakyat mampu mengubah kedudukan itu.
Beliau berkata, barisan kepemimpinan Pemuda Gagasan Rakyat Senallang yang baharu dilantik memiliki keupayaan dan kekuatan tersendiri dalam membantu menggerakkan jentera parti di peringkat bahagian dan Parlimen.
“Anak muda yang menggerakkan sayap Pemuda di Senallang ini bukan sahaja anak jati Semporna tetapi juga terdiri mereka yang berkebolehan dan memiliki latar belakang yang hebat, contohnya Ketua Penerangan berkelulusan undang-undang.
“Begitu juga Penolong Bendahari, Ifrad Datuk Harman, memang dikenali sebagai seorang usahawan dan anak kepada bekas ADUN Sulabayan, Datuk Harman Mohamad,” katanya.
Selain itu, katanya, dalam kalangan Ahli Jawatankuasa biasa Pergerakan Pemuda juga dianggotai teknokrat, usahawan muda dan aktivis siswa.
“Muka baharu dalam arena politik daerah turut bersama menganggotai barisan pemuda sebagai tambah nilai kekuatan organisasi Bahagian Senallang,”katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pembentukan Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Senallang, di sini, baru-baru ini.
Mohd Saifullah berkata, beliau mahu menjadikan pergerakan Pemuda sebagai platform atau saluran suara rakyat akar umbi terutama golongan belia dan generasi ioT dalam mengangkat hasrat mereka ke peringkat atasan.
Sejajar dengan itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan jelajah untuk mendekati anak muda dan rakyat, khususnya di kawasan dikuasai WARISAN termasuk di Lahad Datu.
“Saya selaku Penyelaras Pemuda Gagasan Rakyat Parlimen Semporna dan Lahad Datu akan mengadakan jelajah kolaboratif di semua bahagian di Lahad Datu.
“Ia bagi membentuk kekuatan baharu gerakan Pemuda Gagasan Rakyat di kawasan-kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat WARISAN,” katanya.
Pendekatan itu juga katanya, sejajar dengan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat Senallang mendokong kepemimpinan Azis Abdul Hamid; timbalannya, Rashdey Datuk Sabardin dan Naib Ketua, Marzuki Nasir.
“Kerjasama berpasukan dapat mengukuhkan Gagasan Rakyat sebagai pilihan terbaik rakyat Senallang dan Parlimen Semporna keseluruhannya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Add Comment