Home » Lebih 30,000 pekebun kecil sawit Sabah capai pensijilan MSPO
Berita GRS Politik

Lebih 30,000 pekebun kecil sawit Sabah capai pensijilan MSPO

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah melibatkan lebih 191,000 hektar ladang telah mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April 2025, mewakili kadar 97.62 peratus – antara yang tertinggi di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen dan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, industri serta komuniti pekebun kecil.

“Di Sabah, kita telah mencapai pensijilan kira-kira 97 peratus kawasan tanaman, manakala di Sarawak lebih 92 peratus. Namun kita perlu terus berusaha ke arah 100 peratus, khususnya bagi Pekebun Kecil Bebas,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF2025) di Hotel Marriott, pada Rabu, di sini.

Beliau berkata, tekanan global terhadap rantaian bekalan bebas penebangan hutan menuntut Malaysia meningkatkan usaha pensijilan dan kebolehkesanan bagi mengekalkan kredibiliti di mata dunia.

Sabah, katanya, telah mengguna pakai Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan (JASPO) sejak 2015 dengan sasaran 100 peratus pengeluaran minyak sawit diperakui menjelang 2030.

Hajiji menegaskan pendekatan itu bukan sekadar pentadbiran, sebaliknya mekanisme tadbir urus yang menyatukan pemain industri di bawah kerangka bersama, sejajar piawaian MSPO, RSPO dan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR).

“Sabah kekal sebagai pengeluar utama dengan 1.48 juta hektar kawasan tanaman dan pengeluaran tahunan melebihi 4.2 juta metrik tan minyak sawit mentah (CPO),” katanya sambil menambah bahawa Sabah dan Sarawak menyumbang lebih 55 peratus kawasan tanaman sawit negara.

Menurut Hajiji, pencapaian ini adalah hasil dekad-dekad usaha keras pekebun kecil, pengilang, pedagang, penyelidik dan pembuat dasar. Lebih penting, katanya, industri sawit telah mengubah kehidupan dengan menyediakan infrastruktur, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.

“Marilah kita terus bekerjasama memperkasa komuniti luar bandar, memelihara alam sekitar dan meninggalkan legasi kemajuan yang memberi impak bermakna untuk generasi akan datang,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment