Home » RM1.33 bilion inisiatif SMJ bantu pelajar Sabah : Hajiji
Berita GRS Politik

RM1.33 bilion inisiatif SMJ bantu pelajar Sabah : Hajiji

KENANGAN: Hajiji, Jahid bersama tetamu, warga sekolah dan jemputan lain bergambar kenangan pada majlis itu.

TUARAN: Kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.33 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan modal insan dan pendidikan di bawah agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, jumlah itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan di Sabah dalam tempoh hampir lima tahun.

“Belum pernah sebelum ini begitu banyak inisiatif dilaksanakan untuk pendidikan dan pembangunan modal insan. Tahun ini, biasiswa negeri meningkat kepada RM138 juta berbanding kira-kira RM50 juta sebelum ini,” katanya ketika merasmikan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung yang dinamakan sempena namanya pada Khamis di Topokon.

Namun, Hajiji menegaskan jumlah itu masih belum mencukupi dan meminta peruntukan tambahan tahun depan supaya lebih ramai pelajar cemerlang mendapat manfaat.

Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan tunai RM200 setiap tahun kepada kira-kira 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM.

“Saya faham ada pelajar datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Saya sendiri pernah merasai kesukaran itu ketika menduduki peperiksaan pada 1971,” katanya.

Menurut Hajiji, pendidikan kekal sebagai keutamaan utama kerajaan negeri, di samping pembangunan ekonomi melalui sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian.

“Perjuangan kita tidak lengkap jika sektor pendidikan gagal dibangunkan. Guru juga digesa menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan, jangan terpengaruh dengan fitnah pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, rekod pencapaian kerajaan negeri termasuk kejayaan membawa masuk pelaburan berimpak tinggi ke Sabah, antaranya pelaburan RM31 bilion dari Singapura di Sipitang.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan sambutan persaraan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam. Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim.