Home » Rakyat bijak menilai, GRS terus fokus bekerja :Aksyah
Berita GRS Politik

Rakyat bijak menilai, GRS terus fokus bekerja :Aksyah

Aktivis politik Pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah

KOTA KINABALU: Pemerhati politik, Aksyah Nasrah menegaskan serangan bertali arus pembangkang terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah lumrah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), namun yakin rakyat bijak menilai dan tetap mahukan kestabilan.

Menurutnya, naratif pembangkang yang cuba menggambarkan GRS gagal sama seperti taktik Warisan ketika menumbangkan BN dahulu ,menggunakan sindiran, fitnah dan menafikan segala kebaikan kerajaan.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

“Rakyat sudah matang. Bila kita turun ke lapangan, termasuk bertemu anak muda, mereka tahu isu tiga serangkai (air, elektrik, jalan) bukan masalah baharu. Bezanya, rakyat melihat ada kemajuan sejak GRS mengambil alih,” katanya.

Aksyah menambah, rakyat mengiktiraf dasar baharu seperti Rumah SMJ, bantuan SYUKUR serta pelaburan pendidikan yang dirasai secara langsung. Dari sudut ekonomi, katanya, GRS proaktif memperkenalkan dasar mesra pelabur, membangunkan taman perindustrian dan menyediakan modal kepada peniaga kecil, bukti kerajaan tidak berdiam diri menghadapi cabaran global.

“Hasil negeri meningkat saban tahun. Kalau benar GRS gagal total seperti didakwa, bagaimana hasil negeri boleh melonjak?” ujarnya.

Aksyah menegaskan, GRS perlu kekal sebagai tonggak kerajaan kerana akarnya tempatan. “Bermula dari GRS, Sabah dihormati dan banyak perkara berkaitan MA63 berjaya ditunaikan. Rakyat tidak mahu Sabah kembali terikat dengan parti nasional atau janji kosong Warisan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya mendekati pengundi muda yang menjadi penentu masa depan negeri.

“Rakyat Sabah kini dalam mood menyokong parti lokal. Jangan risau dengan fitnah pembangkang. Yang penting, kita bersatu hati, terus bekerja dan percaya rakyat bersama kita kerana mereka lebih sayangkan kestabilan politik berbanding retorik politik semata-mata,” tegasnya.

TAMAT