Home » Makna besar Hari Malaysia untuk Sabah dan Sarawak
Blok Borneo Politik

Makna besar Hari Malaysia untuk Sabah dan Sarawak

Lee (kiri) dan Redonah (kanan) berkongsi pandangan sama, bahawa sambutan Hari Malaysia mempunyai nilai yang cukup mendalam.

KOTA KINABALU: Tiga hari lagi, Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan. Persiapan mengenainya sedang rancak dikemaskini.

Sambutan yang berpusat di Dataran Padang Merdeka itu mempunyai makna bagi kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Ia bukan sekadar sambutan keramaian, tapi mempunyai nilai sejarah dan signifikan tersendiri.

Rata-rata penganalisis dan pemimpin politik berkongsi pandangan sama, bahawa sambutan Hari Malaysia mempunyai nilai yang cukup mendalam.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung dari Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata sambutan Hari Malaysia mengingatkan tentang peristiwa penting dalam sejarah negara, iaitu pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963. 

Katanya, Hari Malaysia sudah pastinya mempunyai signifikan yang lebih mendalam bagi rakyat dan negeri Sabah.

Ini kerana ia mengingatkan kemerdekaan Sabah dan penggabungan Sabah serta Sarawak dengan Semenanjung Tanah Melayu (asalnya termasuk Singapura) untuk membentuk Malaysia. 

Menurutnya, sambutan ulang tahun ini menandakan simbol kebersamaan, perpaduan, toleransi dan keharmonian yang seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang hidup bersama-sama. 

Namun, katanya, dari perspektif Sabah dan Sarawak sudah pastinya sambutan ini juga menjadi detik mengingatkan tentang hak-hak Sabah Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipersetujui. 

“Sambutan ini pastinya menyemarakkan semangat kebangsaan sambil mengingatkan bahawa Sabah Sarawak merupakan rakan kongsi sama-rata dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Mengenai harapannya bagi mengisi makna sambutan ini, Lee berkata harapannya agar sambutan Hari Malaysia tidak sekadar acara simbolik, tetapi membawa makna lebih besar dari sudut memperkukuhkan kedudukan Sabah dalam Persekutuan. 

“Sambutan ini seharusnya menjadi platform untuk memperkuatkan kesedaran nasional tentang hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 yang merangkumi aspek autonomi dan pengagihan kekayaan ekonomi dan pengagihan hasil yang adil khususnya hasil sumber alam daripada Sabah. 

“Harapan rakyat Sabah adalah agar MA63 dapat terus diperjuangkan dan direalisasikan sepenuhnya demi membawa manfaat konkrit kepada negeri khususnya untuk pembangunan infrastruktur (jalan raya dan penyaluran bekalan air bersih), pendidikan dan ekonomi (basmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah setiap keluarga). 

“Dalam masa sama, kita sebenarnya mengharapkan kesedaran mengenai MA63 dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya di Semenanjung juga perlu dipertingkatkan supaya seluruh negara faham tentang komitmen yang perlu diberikan untuk memelihara integriti dan kerjasama dalam Malaysia. 

“Ini terutamanya sejarah itu bukannya milik eksklusif sejarawan dan perlu dihayati oleh semua. Jangan lagi ada yang berprasangka penduduk Sabah Sarawak tinggal atas pokok,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk  Redonah Bahanda berkata sambutan Hari Malaysia signifikannya sama seperti Hari Merdeka dan Hari Sabah yang disambut secara serentak pada 31 Ogos setiap tahun, mulai tahun ini.

Menurutnya, sambutan itu adalah untuk memupuk rasa cintakan kepada negara serta meningkatkan lagi semangat patriotisme dan nasionalisme rakyat kepada negara dan negeri.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting bagaimana meraikan dan memaknai hari berkenaan, sekaligus memberikan ‘jiwa’ dan mendalami makna Hari Malaysia.

“Besarlah harapan saya terutamanya kepada generasi muda iaitu generasi Alpha dan generasi akan datang yang disebut sebagai Beta, untuk kita tanam dan pupuk semangat cintakan negara,” katanya.

Justeru, katanya, persediaan dan perancangan masa kini terutama dalam bidang pendidikan dan kenegaraan perlu ditekankan.

Redonah berkata selain kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah, sambutan ini juga meningkatkan lagi semangat patriotisme dan nasionalisme, terutama dalam kalangan generasi muda.

— Lichong Angkui

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment