KOTA MARUDU: Banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah mengakibatkan ribuan orang terjejas dan dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS).
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Bandau, Datuk Maijol Mahap berkata, bencana berkenaan turut berlaku di Kota Marudu.
Katanya, menurut data yang diterima lebih kurang 10 PPS telah dibuka di Kota Marudu yang menempatkan lebih kurang 1,150 Ketua Isi Rumah dengan jumlah keseluruhan mencecah hampir 3,000 orang.
Maijol turut bergegas turun padang menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa buah PPS, sambil menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat menzahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terjejas dengan bencana banjir kali ini.
“Kita di peringkat kepimpinan parti di bahagian akan terus berusaha untuk membantu mereka yang terjejas akibat bencana itu.
“Kita juga akan menghulurkan sedikit bantuan untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau melawat beberapa PPS seperti PPS SK Ranau, SKKMII dan SMK Bengkongan sambil diiringi oleh jentera Pemuda Bandau yang diketuai oleh Datu Muhammad Farid Datu Liman.
— UB
Add Comment