Home » Mantan Timbalan Pengerusi SAPP Tambunan sertai Gagasan Rakyat
Berita GRS Politik

Mantan Timbalan Pengerusi SAPP Tambunan sertai Gagasan Rakyat

BORANG: Geoffrey bersama Ervena menyerahkan borang keahlian Gagasan Rakyat kepada Hussein selepas mengumumkan keluar SAPP.

TAMBUNAN: Mantan Timbalan Pengerusi Parti Maju Sabah (SAPP) Tambunan, Geoffrey Yong, mengumumkan keluar parti selepas lebih tiga dekad bergiat aktif, untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama isterinya, Ervena Joan.

Keputusan itu diumumkan pada satu majlis penyerahan borang keahlian Gagasan Rakyat yang disempurnakan oleh Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Hussein Hassan, disaksikan Ahli Jawatankuasa Bahagian Sylvester Yapas, Aziz Banting serta barisan kepimpinan parti.

Geoffrey berkata, keputusannya menyertai Gagasan Rakyat dibuat selepas melihat kepimpinan dinamik Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P. Paut, yang membawa pendekatan politik baharu dan lebih dekat dengan rakyat.

“Saya yakin dengan arah perjuangan yang dibawa oleh Gagasan Rakyat melalui kepimpinan Datuk Victor. Pendekatan beliau memberi nafas baharu kepada politik Tambunan, dan saya percaya inilah platform yang mampu membawa pembangunan sebenar kepada masyarakat setempat,” katanya.

Langkah Geoffrey meninggalkan SAPP selepas lebih 30 tahun bersama parti itu dilihat sebagai satu perkembangan politik signifikan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Ia memberi isyarat perubahan sokongan di Tambunan,kawasan yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Keputusan STAR dan SAPP meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini turut membuka medan politik Tambunan kepada persaingan baharu. Kehadiran Gagasan Rakyat melalui kepimpinan Victor P. Paut dilihat semakin mendapat perhatian penduduk tempatan.

Dalam tempoh kepimpinannya, Victor aktif turun padang ke kampung-kampung mendengar sendiri masalah rakyat, termasuk isu pembangunan luar bandar, prasarana asas, peluang ekonomi dan pendidikan generasi muda.

Pendekatan mesra rakyat serta keupayaan beliau membela kepentingan masyarakat setempat dilihat sebagai faktor utama yang menarik sokongan penduduk kepada Gagasan Rakyat.

Perkembangan ini menandakan satu gelombang politik baharu di Tambunan ,kawasan yang kini menjadi gelanggang penting menjelang PRN17.

— TAMAT