KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan semua pimpinan parti supaya bekerja keras memastikan kemenangan semua calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Menteri berkata, kerjasama padu semua peringkat kepimpinan parti amat penting bagi memastikan GRS kembali diberi mandat untuk menerajui kerajaan negeri selepas PRN17.
“Pilihan raya kali ini adalah yang paling kritikal buat kita. Saya minta semua ketua bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat untuk membantu calon parti serta calon rakan kita daripada PH.
“Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya sedar kita berdepan tekanan hebat, termasuk dalam soal pemilihan calon, namun kita mesti berjiwa besar, bertolak ansur dan berkorban. Apa juga keputusan parti, kita junjung dan hormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di sini, semalam.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan jentera pilihan raya gabungan itu, yang dijadual dilancarkan secara rasmi pertengahan Oktober ini.
“Kita yakin akan capai kejayaan sekiranya semua jentera terus bersatu dan bekerja secara tersusun. Dalam tempoh lima tahun mentadbir, kerajaan GRS sudah membuktikan keupayaan melaksanakan pelbagai program rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah,” katanya.
Mengulas dakwaan pembangkang yang kononnya kerajaan negeri gagal mentadbir, Hajiji menegaskan fakta membuktikan sebaliknya.
“Pembangkang menuduh kerajaan ini gagal, terutama saya. Tapi apa gagalnya kalau kita berjaya mentadbir negeri dengan baik dan mempunyai hala tuju jelas untuk membangunkan Sabah?
“Dulu hasil negeri hanya RM4 bilion. Kini meningkat kepada RM7 bilion dan dijangka lebih lagi tahun depan. Kita juga berjaya memeterai perjanjian dengan PETRONAS, memberi manfaat besar kepada industri minyak dan gas tempatan. Lebih 100 syarikat Sabah kini terlibat dalam sektor ini,” katanya.
Terdahulu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat yang turut dihadiri barisan kepimpinan utama parti termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Naib-Naib Presiden Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah; Ketua Wanita Datuk Redonah Bahanda; Ketua Pemuda Datuk Fairuz Renddan; Ketua Beliawanis Emmie Martin Idang; serta barisan kepimpinan tertinggi parti.
— TAMAT

























Add Comment