KOTA KINABALU: Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 3.0 yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta pengamal media dalam usaha menyemarakkan semangat kebajikan dan perpaduan sempena bulan Ramadan.
Program berkenaan dirasmikan oleh Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah selaku penganjur utama program berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran program seperti MISUR mencerminkan semangat kerjasama serta keprihatinan sosial yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

“Program seperti MISUR bukan sahaja membantu golongan asnaf, anak-anak yatim serta ibu tunggal, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat, NGO dan sektor korporat,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa MISUR yang ditubuhkan pada tahun 2024 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah menunjukkan komitmen dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan.

Menurut Nizam, penganjuran MISUR 3.0 merupakan kali ketiga hasil kerjasama strategik antara pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid, NGO berdaftar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata usaha tersebut amat signifikan khususnya di kawasan Kapayan yang mempunyai masyarakat majmuk dengan umat Islam sebagai golongan minoriti, sekali gus menjadikan program seperti ini penting dalam memupuk perpaduan serta memperkukuh hubungan masyarakat setempat.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai peranan pengamal media yang sentiasa memainkan fungsi penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai isu pembangunan dan kebajikan di Sabah.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga sepanjang tahun,” katanya.
Majlis tersebut diadakan di Wisma Kinsabina, Penampang dan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 66 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal serta keluarga kurang berkemampuan di sekitar kawasan Kepayan.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kapayan, Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan; Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Indang; serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kapayan.
Sementara itu, Pengerusi penganjur, Dr. Haji Abdul Rashid Hassan, yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Kepayan berkata majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan memerlukan, malah turut menjadi platform menghargai peranan penting media dalam masyarakat.
Menurut beliau, majlis tersebut membawa tema “Media Tanpa Sempadan: Media dan Fakta Berpisah Tiada”, yang menekankan kepentingan media sebagai penyampai maklumat yang tepat, adil dan beretika dalam era digital masa kini.
“Dalam dunia yang sarat dengan pelbagai sumber maklumat, media memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan fakta dan kebenaran.
“Justeru, tanggungjawab melaporkan berita secara telus dan berintegriti merupakan amanah besar dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media, penaja, penyumbang serta sukarelawan yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan majlis tersebut.
Menurutnya, penganjuran program itu selari dengan semangat Ramadan yang mengajar nilai kesyukuran, keprihatinan serta budaya berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Majlis MISUR 3.0 kemudiannya dirasmikan oleh Nizam yang berharap program seumpama itu terus menjadi platform memperkukuh nilai kebersamaan, perpaduan serta keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

























Add Comment