Home » Redonah santuni mangsa banjir di PPS SMK Tandek 2
Berita Gagasan Rakyat Politik

Redonah santuni mangsa banjir di PPS SMK Tandek 2

SANTUNI MANGSA: Redonah beramah mesra dengan mangsa banjir ketika lawatan ke PPS SMK Tandek 2 bagi menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terjejas.

KOTA MARUDU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah terus menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat apabila menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Tandek 2, di sini pada Selasa.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda, berkata sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan dan solidariti kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Menurut beliau, walaupun bantuan yang diberikan mungkin tidak besar, ia diharap dapat membantu meringankan sedikit kesulitan yang dialami oleh mangsa.

PRIHATIN:Redonah merakamkan kenangan bersama para petugas yang terlibat membantu mangsa banjir.

“Bantuan ini mungkin tidak seberapa, namun kami berharap ia dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh saudara-saudari kita yang terkesan akibat bencana ini.

“Lebih daripada itu, ia merupakan tanda solidariti, kasih sayang dan kebersamaan kita dalam menghadapi dugaan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Pada masa sama, Redonah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir termasuk pemimpin masyarakat, pihak berkuasa serta sukarelawan yang bertungkus-lumus memberikan bantuan.

Antara agensi yang terlibat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RELA serta Pejabat Daerah dan sukarelawan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam operasi bantuan.

Beliau berkata usaha semua pihak itu amat bermakna dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terus terpelihara sepanjang tempoh mereka berada di pusat pemindahan sementara. “Saya mendoakan agar keadaan kembali pulih dengan segera dan semua mangsa diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.