Home » Nizam bantu penerima bantuan SYUKUR buka akaun bank
Berita GRS Politik

Nizam bantu penerima bantuan SYUKUR buka akaun bank

BANTUAN: Nizam menyampaikan bantuan SYUKUR kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank.

TAWAU: Penerima bantuan Sentuhan Kasih Rakyat SMJ (SYUKUR) terus diberikan perhatian bagi memudahkan penyaluran bantuan kewangan kerajaan negeri Sabah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya menyambut baik bantuan SYUKUR yang disediakan kerajaan negeri untuk membantu rakyat di Sabah.

Katanya, bagi memperkukuhkan usaha kebajikan itu, pihaknya turut membantu penerima bantuan berkenaan membuka akaun bank untuk memudahkan penyaluran bantuan kewangan berkenaan.

“Kita telah mengadakan Program Bantuan Pembukaan Akaun Bank khas untuk Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak menerima bantuan SYUKUR ini.

“Ia susulan maklumat daripada Sekretariat SMJ yang mendapati sebilangan penerima bantuan masih belum memiliki akaun bank, sekali gus menyukarkan proses pembayaran bantuan berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui dalam Program Bantuan Pembukaan Akaun Bank, pada Isnin di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo SU Fui dan ADUN Balung, Datuk Hamild Awang.

Nizam berkata, pihaknya turun padang bagi mengenal pasti penerima yang belum memiliki akaun serta mengaturkan pembukaan akaun secara terus pada hari ini.

“Kita mahu memastikan setiap penerima bantuan mendapat manfaat sepenuhnya tanpa sebarang halangan teknikal.

“Saya difahamkan bagi penerima bantuan yang masih menghadapi kekangan dalam membuka akaun atas faktor teknikal, pihak Sabah Credit akan menyalurkan bantuan secara tunai sebagai alternatif,” katanya.

 Nizam bergambar bersama lebih 200 penerima SYUKUR yang akan membuka akaun melalui program ini.
ALBUM: Nizam bergambar bersama lebih 200 penerima SYUKUR yang akan membuka akaun melalui program ini.

Menurutnya, dengan inisiatif ini, lebih 200 penerima bantuan SYUKUR di daerah ini dijangka dapat menerima bantuan mereka tepat pada masanya mengikut jadual penyaluran dalam empat fasa sepanjang tahun ini.

“Program bantuan buka akaun bank ini adalah komitmen kita dalam memastikan kebajikan rakyat terus terjaga, selaras dengan dasar Sabah Maju Jaya yang menekankan kesejahteraan rakyat.

“Kita berharap rakyat di negeri ini tiada yang tercicir mendapat pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, katanya, Pusat Zakat Sabah dan Tabung Haji (TH) turut memainkan peranan dengan menawarkan bantuan pembukaan akaun kepada golongan kurang berkemampuan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Pada masa kini kedua-dua agensi berkenaan hanya memberikan bantuan kepada mereka yang memiliki akaun bank, jadi ini adalah langkah penting untuk memastikan mereka yang layak tidak terpinggir,” katanya. 

–Hamzah Sanudin

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment