Home » Perlu lebih peka dan teliti: Razali
Berita Gagasan Rakyat Politik

Perlu lebih peka dan teliti: Razali

Pengerusi SMART Sabah, Datuk Mohd Razali Razi (tengah) bersama tetamu kehormat dan para peserta majlis merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menyebar dan menyampaikan segala inisiatif bantuan daripada kerajaan diingatkan untuk lebih peka dan lebih teliti serta fokus dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. 

Pengerusi SMART Sabah, Datuk Mohd Razali Razi berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan berlakunya keciciran penyaluran bantuan selain mempermudah urusan rakyat yang layak memohon. 

“Yang perlu kita tekankan ialah pada kepekaan, sebab kadang-kadang pemohon dia tidak faham, itu kita kena ambil peranan, agensi-agensi kerajaan kena maklum cara-cara bagaimana mereka boleh dapat dan menikmati bantuan-bantuan kerajaan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan bantuan kepada 100 usahawan muda di Dewan Farabi Masjid Jamek, Likas sempena Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan Usahawan Muda Sabah Tahun 2025 baru-baru ini.

Turut hadir pada program itu ialah, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim dan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.

Ketika ditanya mengenai rungutan rakyat terhadap permohonan bantuan yang kurang jelas, Razali berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan meneliti permasalahan antara kedua-dua pihak, iaitu pihak kerajaan dan pemohon. 

“Kadang-kadang kita kena lihat juga masalah daripada penerima dan mungkin daripada kerajaan. Tapi ringkasnya, setiap daripada apa yang kita lakukan, dia tertakluk kepada peraturan dan syarat.

“Jadi, kalau peraturan dan syarat itu ada, pemohon layak, saya tidak melihat dia membawa isu atau masalah. 

“Mungkin apa yang perlu kita jelaskan di sini ialah, bagaimana kita sampaikan maklumat-maklumat mengenai bantuan ini kepada para pemohon,” katanya. 

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa, apa yang utama adalah tugas agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk menjelaskan tatacara bagaimana penyempurnaan bantuan itu dijalankan.

Pada tahun ini kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memanfaatkan lebih 100,000 penerima layak selama 12 bulan.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment