TAWAU: Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan terus mendapat perhatian apabila menerima sumbangan 10 helai pakaian perlindungan diri (PPE) kalis api sebagai sokongan kepada peranan mereka membantu memadam kebakaran di sekitar daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sumbangan itu adalah hasil kerjasama pemimpin setempat termasuk ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal; ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Suryady Bandy; dan ADUN Balung, Datuk Hamild Awang.
Majlis penyerahan berlangsung di Masjid Babul Khair, Kampung Titingan, pagi tadi.
“Bomba Komuniti Kampung Titingan ini terdiri daripada sukarelawan yang sentiasa bersedia membantu pihak bomba memadam kebakaran. Sumbangan PPE ini sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka, di samping memberi suntikan semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya selepas majlis berkenaan.
Nizam turut menekankan bahawa semangat sukarelawan pasukan tersebut wajar dijadikan contoh kepada kampung lain untuk menubuhkan pasukan bomba komuniti masing-masing.
“Kerjasama erat antara komuniti dan agensi keselamatan amat penting. Kita mahu Titingan menjadi ikon yang boleh dicontohi, sekali gus memperluas jaringan sukarelawan di kawasan lain,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan setempat yang sepakat menyokong inisiatif ini demi kesejahteraan penduduk.
— TAMAT

























Add Comment