RANAU: Paginatan, kira-kira 45km dari pekan Ranau, akan dibangunkan sebagai bandar baharu berimpak tinggi dengan projek pembangunan komersial dan perumahan awam seluas 200 ekar.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk Masiung Banah berkata projek itu akan mengubah wajah Paginatan menjadi pusat komersial moden berhampiran Tugu Peringatan Nunuk Ragang.
Majlis pecah tanah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Datuk Masidi Manjun, ADUN Paginatan Datuk Abidin Mandingkir, Pengurus Besar LPPB Datuk Rosemary Ahping, serta kira-kira 1,500 tetamu.
Menurut Masiung, fasa pertama melibatkan kerja persediaan tapak bernilai RM500,000, manakala keseluruhan projek akan dibangunkan dalam lima fasa.
Antara kemudahan yang dirancang termasuk kompleks sukan, pejabat daerah kecil, perpustakaan, masjid, balai bomba, stesen minyak, sekolah dan pusat rekreasi, selain pembinaan infrastruktur awal seperti jalan masuk, penimbusan, perparitan dan kiosk Bumiputera.
Projek ini dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri Sabah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerja awal dijadualkan bermula sebelum hujung tahun.
— TAMAT

























Add Comment