Home » Tambahan 10 Unit Rumah SMJ bukti keprihatinan Kerajaan GRS : Maijol
Berita GRS Politik

Tambahan 10 Unit Rumah SMJ bukti keprihatinan Kerajaan GRS : Maijol

Datuk Dr Maijol Mahap menyifatkan penambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ sebagai bukti kepekaan dan komitmen Kerajaan GRS terhadap keperluan rakyat, khususnya pasangan muda di luar bandar.

BANDAU:Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N6 Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap, mengalu-alukan langkah Kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menambah 10 unit Rumah Mesra SMJ bagi golongan belia baru berkahwin, menjadikan jumlah keseluruhan 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap keperluan rakyat, khususnya pasangan muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga, terutama di kawasan luar bandar.

“Penambahan Rumah SMJ ini bukan sahaja memberi peluang kepada pasangan muda memiliki rumah sendiri, tetapi turut membantu meringankan beban dan cabaran kos sara hidup. Ini mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap realiti hidup golongan muda hari ini,” katanya ketika ditemui di Bandau, semalam.

Menurut beliau, dasar berorientasikan rakyat seperti ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.

“Langkah ini jelas menunjukkan kesungguhan Ketua Menteri untuk memastikan tiada rakyat Sabah yang tercicir dalam arus pembangunan. Ia bukti nyata bahawa GRS bukan sekadar berjanji, tetapi benar-benar melaksanakan dasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” tegasnya.

Dr Maijol yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N6 Bandau turut menyeru masyarakat, khususnya golongan belia di kawasan Bandau, untuk terus menyokong kepimpinan Hajiji dan Kerajaan GRS yang telah membuktikan rekod cemerlang dalam mentadbir negeri.

“Kerajaan GRS telah memperkenalkan pelbagai dasar pro-rakyat seperti Rumah SMJ, Bantuan Pendidikan, Skim Insurans Rakyat Sabah dan Sentuhan Kasih Rakyat. Semua inisiatif ini memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” ujarnya.

Beliau menambah, kejayaan pelaksanaan dasar-dasar ini wajar diteruskan melalui sokongan padu rakyat kepada Kerajaan GRS dalam pilihan raya negeri akan datang, demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri berpanjangan.

— TAMAT