Home » Peguam ibu Zara tegas tidak akan gentar hadapi tekanan
Berita GRS Politik

Peguam ibu Zara tegas tidak akan gentar hadapi tekanan

Shahlan Jufri (kanan), peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina, tekad terus perjuangkan keadilan tanpa tunduk pada sebarang tekanan.

KOTA KINABALU: Seorang peguam yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk tekanan dalam usaha menegakkan keadilan bagi kes tersebut.

Shahlan Jufri tampil memberi penjelasan selepas gambarnya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, tular di media sosial.

Menurutnya, gambar berkenaan dirakam pada Jun 2025 dan tidak mempunyai kaitan dengan kes Zara Qairina. “Cubaan pihak tertentu mengaitkan gambar itu adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat. Komitmen saya hanya untuk keadilan Zara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Rabu.

Hantaran di Facebook pada malam Rabu

Shahlan berkata, beberapa tuntutan utama pihaknya telah berjaya dilaksanakan selepas beliau dilantik sebagai peguam, termasuk penggalian semula kubur, pelaksanaan bedah siasat yang mengambil masa lebih lapan jam, serta permohonan inkues yang kini sedang berjalan.

“Kami juga memohon agar pelaku dijatuhi hukuman lebih berat iaitu maksimum 10 tahun,” jelasnya.

Beliau menegaskan dirinya bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, malah tidak akan membiarkan mana-mana cubaan memesongkan perjalanan kes tersebut.

“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan sejak hari pertama dilantik sebagai peguam Zara,” tegasnya.

Terdahulu, gambar tular berkenaan turut memaparkan seorang lagi peguam, Datuk Ram Singh, yang mewakili tertuduh dalam kes itu, sekali gus mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna media sosial.

— TAMAT