Home » Peluasan kawasan Geopark dan Biosphere Reserve langkah bijak
Berita GRS Politik

Peluasan kawasan Geopark dan Biosphere Reserve langkah bijak

TINJAU: Hajiji, Christina serta tetamu kehormat lain ketika melihat ruangan pameran yang diadakan pada majlis itu.

TUARAN: Usaha peluasan kawasan Geopark dan Biosphere Reserve ke daerah ini adalah langkah strategik.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, Sabah telah memperolehi status ‘Triple Crown Site’ pada 2023 sekali gus menjadikan hanya tiga kawasan seumpamanya di dunia yang mendapat pengiktirafan sebagai global geopark, world heritage site dan biosphere reserve dalam satu kawasan sama oleh UNESCO selepas Pulau Jeju di Korea Selatan dan Shennongjia, China.

“Pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian berprestij tetapi membuka ruang untuk pembangunan eko-pelancongan, pendidikan, penyelidikan dan pemerkasaan komuniti tempatan.

“Ekspedisi saintifik Geo-Sulaman 2025 yang berlangsung pada 14 sehingga 29 April lalu adalah langkah awal bagi menilai dan mengumpul data saintifik di kawasan cadangan peluasan itu.

“Kajian ini bertujuan mengenal pasti lokasi berpotensi sebagai Geosite, Biosite dan Cultural site dalam wilayah peluasan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Proses Konsultasi Bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik Peluasan Kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark and Crocker Range Biosphere Reserve Tuaran, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, dalam hasil kajian awal, beberapa lokasi berpotensi telah dikenal pasti untuk diketengahkan. Contohnya seperti Hutan Simpan Sulaman Lake, Hutan Simpan Lemaas, Hutan Simpan Kalawot, Air Terjun Murug Turug, Air Terjun Moggilan dan banyak lagi.

Menurutnya, Tuaran memiliki potensi besar dengan keindahan geologi, biodiversiti dan budaya etnik seperti Dusun Lotud, Bajau Samah yang menjadi khazanah berharga negeri ini.

“Pelaksanaan sesi konsultasi dengan pihak berkepentingan dan komuniti juga penting kerana setiap geopark dan biosphere reserve yang diiktiraf oleh UNESCO mestilah menyatukan tiga teras utama iaitu pemuliharaan khazanah alam semula jadi dan budaya, pembangunan lestari ekonomi masyarakat, pendidikan dan kesedaran awam.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

— Yap Siong Han