SIPITANG: Parti pembangkang yang dilihat semakin kurang mendapat sokongan rakyat menggunakan peluang untuk mendesak Ketua Menteri meletak jawatan bagi meraih semula sokongan rakyat, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin Helmy Hj Saidin.
Katanya, mutakhir ini pembangkang di Sabah sudah kekurangan isu dan sengaja mensensasikan perkara itu bagi menarik perhatian rakyat.
“Seandainya desakan atau kemahuan mereka berjaya maka kononnya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dituduh gagal.
“Sebaliknya, Kerajaan GRS-PH Plus pada hari ini dari sudut pandangan sebilangan besar rakyat Sabah adalah kerajaan yang komited dalam membela kebajikan rakyat dan membangun prasarana dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Helmy lagi, rakyat sedar betapa Kerajaan GRS-PH Plus di negeri ini telah mewarisi tinggalan kerajaan terdahulu.
Malah katanya, rakyat melihat kebersamaan pemimpin kerajaan yang diketuai Hajiji terus bekerja tanpa mengeluh dan jelas terbukti pencapaiannya dari aspek kebajikan dan perkara lain yang membantu membela rakyat.
“Pihak yang berkenaan sudah menyedari dari awal lagi betapa rakyat secara majoritinya amat senang dengan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan GRS-PH Plus ini.
“Rasanya tidak adil mengheret rakyat untuk mainan politik apa pun. Biarlah rakyat terus menikmati perkhidmatan Kerajaan GRS-PH Plus hingga Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.
Helmy menegaskan tetap teguh menyokong sepenuhnya kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin sebagai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin termasuk kepimpinan bahagian.
Katanya, Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sindumin akan terus bersama-sama rakan gabungan GRS-PH Plus yang ada dan akan terus memperhebatkan gerak kerja dengan turun padang menyantuni ahli dan masyarakat setempat.
“Saya yakin rakyat Sindumin akan mengerti dan akan faham dengan situasi politik semasa,” katanya sambil menambah rakyat mampu menilai agar tidak diheret ke dalam permainan politik mereka (pembangkang),” katanya.
–Kenneddy Corlleus
Add Comment