Home » Pemindahan penjaja Pasar Dinihari ke Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai demi kebajikan peniaga, kelancaran trafik
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pemindahan penjaja Pasar Dinihari ke Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai demi kebajikan peniaga, kelancaran trafik

Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sungai Sibuga, Datuk Anna Bell @ Suzienna binti Hj Perian

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan sokongan kepimpinan negeri melaksanakan pemindahan operasi penjaja Pasar Dinihari ke tapak baharu di Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai sebagai langkah penstrukturan semula aktiviti perniagaan bandar ke arah lebih teratur, bersih dan kondusif.

Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sungai Sibuga, Datuk Anna Bell @ Suzienna binti Hj Perian, merakamkan penghargaan kepada MPS dan kerajaan negeri atas keprihatinan serta sokongan berterusan dalam memastikan kebajikan peniaga, keselesaan pengunjung dan kesejahteraan masyarakat bandar Sandakan terus terpelihara.

Menurut beliau, kerjasama erat pihak berkuasa tempatan dan kepimpinan negeri amat penting dalam menyusun semula operasi pasar serta mengurus aktiviti ekonomi bandar supaya lebih tersusun, selamat dan mesra pengunjung.

“Langkah pemindahan ini dilaksanakan berasaskan keperluan penambahbaikan pengurusan pasar dan persekitaran bandar. Ia bukan bertujuan menyusahkan peniaga, sebaliknya untuk memastikan aktiviti perniagaan dapat dijalankan dalam suasana yang lebih kondusif serta memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sekitar Taklimat Dan Sesi Libat Urus Perpindahan Penjaja Serta Pemborong Pasar Dinihari Ke Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini.

Beliau menjelaskan beberapa faktor utama mendorong pelaksanaan pemindahan dan penambahbaikan Pasar Dinihari, antaranya tapak sedia ada hanya diluluskan secara sementara dan belum digazetkan sebagai pasar rasmi.

Selain itu, penggunaan lot parkir Pasar Awam oleh penjaja menyebabkan jumlah pengunjung ke pasar awam berkurangan, sekali gus menjejaskan perniagaan peniaga sedia ada. Penjaja Pasar Dinihari sendiri, katanya, pernah menyuarakan kebimbangan mengenai kemerosotan jualan susulan kekurangan pelanggan.

Isu kesesakan trafik turut dikenal pasti, khususnya di sekitar kawasan Four Point Mall dan laluan menuju Ormond Hotel, apabila berlaku parkir berganda oleh peniaga serta pengunjung yang menjejaskan kelancaran pergerakan kenderaan termasuk bas pelancong, sekali gus memberi impak kepada imej bandar Sandakan sebagai destinasi pelancongan.

Masalah kebersihan dan pengurusan sisa juga menjadi antara faktor pertimbangan utama, termasuk kelemahan pengurusan oleh operator swasta sebelum ini dalam memastikan kebersihan serta susun atur pasar dilaksanakan secara teratur.

Sehubungan itu, penjaja dipindahkan ke tapak baharu di Pasar Bandar Ramai-Ramai yang kini dikenali sebagai Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai, dengan kemudahan yang lebih tersusun, bersih dan selamat.

Anna Bell berkata tapak baharu itu menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, disusun secara teratur dengan kemudahan asas mencukupi, sekali gus memberi peluang kepada penjaja menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan.

“Langkah ini juga menyokong usaha pihak berkuasa tempatan untuk menghidupkan semula Pasar Awam serta Bandar Ramai-Ramai sebagai pusat tumpuan ekonomi dan perniagaan bandar,” katanya. Beliau yakin pemindahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penjaja dan pengunjung, malah mampu meningkatkan imej Sandakan sebagai bandar yang bersih, teratur dan mesra pengunjung.

–TAMAT