Home » Sedcovest perkasa usahawan PKS, optimum aset pacu ekonomi Sabah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Sedcovest perkasa usahawan PKS, optimum aset pacu ekonomi Sabah

CENDERAHATI: Mantan Pengerusi Sedcovest Datuk Rubbin Guribah (kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi baharu Datuk Redonah Bahanda pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Sedcovest Holdings Sdn Bhd komited untuk terus memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah dengan mengoptimumkan sepenuhnya aset serta kepakaran sedia ada bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Redonah Bahanda, berkata agensi itu perlu bertindak lebih berani dan strategik dalam mendepani cabaran semasa, termasuk memastikan setiap aset yang dimiliki dimanfaatkan secara optimum serta diterjemahkan kepada pulangan berimpak tinggi kepada organisasi dan rakyat.

“Kita perlu memastikan setiap aset Sedcovest bukan sekadar wujud di atas kertas, sebaliknya digunakan sepenuhnya, dioptimumkan nilainya dan diterjemahkan kepada pulangan yang memberi impak sebenar. Pengoptimuman aset bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan strategik untuk kelangsungan dan pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pra pelancaran dan lawatan Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera di sini, pada Selasa.

Menurutnya, hala tuju Sedcovest tidak ditentukan semata-mata oleh jumlah aset atau angka prestasi, sebaliknya bergantung kepada keberanian melakukan perubahan, kesungguhan melaksanakan agenda serta kesatuan pasukan dalam mencapai matlamat bersama.

“Kita mengakui syarikat sedang melalui tempoh yang mencabar, namun setiap cabaran membina kekuatan. Dengan kesatuan, pemikiran strategik dan pelaksanaan berintegriti, saya yakin Sedcovest mampu melangkah lebih jauh — bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), malah mencipta pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan dan seluruh warga kerja Sedcovest agar terus memperkukuh organisasi bukan sahaja dari segi prestasi kewangan, tetapi juga nilai, keyakinan serta semangat kebersamaan.

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), katanya, Sedcovest memikul tanggungjawab untuk menjana nilai sosial dan memperkasa keusahawanan tempatan di samping memastikan prestasi kewangan yang mampan serta keupayaan menjana pendapatan secara berterusan.

Mengulas PIP Anjung Selera Likas, Datuk Redonah berkata inisiatif itu menyediakan platform fleksibel dan kos efektif kepada usahawan PKS untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

“PIP Anjung Selera merupakan outlet ketiga selepas PIP Wisma SEDCO dan diwujudkan selari perubahan landskap keusahawanan yang semakin dinamik, inovatif dan berdaya saing.

“Pusat inkubator ini bukan sekadar menyediakan ruang perniagaan, tetapi membina ekosistem yang menyokong usahawan untuk berkembang, mencuba idea baharu dan mencipta kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Sedcovest, Datuk Rubbin Guribah, atas dedikasi dan sumbangan sepanjang tempoh kepimpinan beliau. “Kepimpinan terdahulu telah meletakkan asas kukuh kepada pertumbuhan Sedcovest. Legasi yang baik perlu diperkasa agar syarikat terus relevan, berdaya saing dan mampan,” katanya.

–TAMAT