RANAU: Lebih 900 penduduk dari kampung (Kg) Sosondoton, Kg Nagaya dan Kg Tudan yang terletak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Karanaan di sini, menarik nafas lega dan merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, kerana telah berusaha mendapatkan peruntukan kewangan bagi menaiktaraf dan mengaspal jalan sejauh kira-kira 5 kilometer laluan utama penduduk untuk menghantar hasil pertanian mereka ke pekan Ranau terletak 46 kilometer dari Kg Sosondoton.
Laluan itu amat penting malah satu kemudahan kepada penduduk dari tiga buah kampung itu menghantar hasil pertanian dan menghantar pesakit ke hospital Ranau terutama musim hujan bila mana jalan tersebut menyukarkan penduduk kerana jalan becak, lecen, berlumpur, selekoh dan curam berbahaya kepada yang berkenderaan.
Ketua Kampung Kg Sosondoton, Mudi Tipoi bersama Pengerusi JKKK Kg.Sosondoton, Jumilin Yugam mewakili penduduk kampung, ketika menghubungi Media, menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Masidi membantu mendapatkan peruntukan kewangan untuk mengaspal jalan tersebut.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan Datuk Masidi membantu kami menaiktaraf jalan tersebut”, jelas Mudi yang sependapat dengan Jumilin memberitahu jalan tersebut kini dalam proses penurapan dikendalikan Kontraktor Kekal Mewah dan dijangka siap pertengahan tahun depan.
Mereka turut berbangga dengan kepimpinan Masidi yang amat prihatin dan sentiasa membantu serta menyelesaikan permasalahan yang di hadapi penduduk DUN Karanaan.
“Pemimpin macam inilah yang harus kita beri sokongan berterusan daripada rakyat akar umbi tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik”, tambah Tipui.
Add Comment