Home » Semangat muhibah terserlah di Apas, penganut Buddha santuni umat Islam
Berita GRS Politik

Semangat muhibah terserlah di Apas, penganut Buddha santuni umat Islam

SUMBANGAN: Nizam menyampaikan sumbangan juadah berbuka kepada penduduk di sekitar Tinagat, Batu Payung dan Membalua.

TAWAU: Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas terus terserlah apabila penganut agama lain turut menyantuni umat Islam sepanjang bulan Ramadan melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata semangat perpaduan yang ditunjukkan masyarakat setempat menjadi contoh terbaik dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, walaupun bukan beragama Islam, penganut agama Buddha di Kuil Dewi Kuan Yin di Tinagat tetap menghargai bulan Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat Islam yang memerlukan.

“Walaupun mereka bukan beragama Islam, penganut agama Buddha di kuil ini tetap menghargai bulan Ramadan dengan menyediakan sumbangan makanan untuk berbuka puasa kepada masyarakat Islam yang memerlukan.

“Ini menunjukkan sikap hormat dan keprihatinan mereka terhadap jiran serta komuniti sekeliling,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas menghadiri program penyerahan juadah berbuka puasa di kuil berkenaan, semalam.

Sebanyak 300 juadah berbuka puasa diagihkan kepada masyarakat Islam kurang berkemampuan di sekitar kawasan Tinagat, Batu Payung dan Membalua menerusi program tersebut.

Nizam berkata inisiatif seumpama itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah turut memperkukuh hubungan silaturahim serta persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Saya amat mengagumi semangat muhibah masyarakat di kawasan ini. Perpaduan dan persefahaman antara kaum serta agama adalah tunjang penting kepada kestabilan sosial yang menyokong agenda pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Kuil Dewi Kuan Yin serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut yang menjadi contoh terbaik semangat toleransi dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Sabah.