Home » Pengundi Sabah perlu terus sokong Hajiji: LDP
Berita GRS Politik

Pengundi Sabah perlu terus sokong Hajiji: LDP

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin (kanan) gesa pengundi di Sabah untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS.

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menggesa pengundi di Sabah untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha membangunkan Sabah ke arah lebih maju.

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, pengundi khususnya masyarakat Cina perlu mempertimbangkan dengan teliti calon-calon dan parti yang benar-benar berkemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, pengundi perlu memilih GRS dan memberikan peluang sekali lagi kepada gabungan itu untuk menerajui kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi LDP yang baharu pada Ahad.  

Chin (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Ahli Majlis Tertinggi LDP yang baharu.

Chin turut mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan berita palsu yang tular media sosial.  

“Rakyat perlu belajar untuk mengenal pasti maklumat palsu. Terdapat video yang tular diatas talian untuk menjatuhkan kerajaan, menteri dan wakil rakyat.  

“Jika seseorang menonton dan mengkaji rakaman yang ditularkan baru-baru ini…mereka akan sedar bahawa rakaman itu mempunyai agenda politik yang tersembunyi,”katanya.

Chin menjelaskan bahawa Ketua Menteri telah menyatakan dengan jelas bahawa rakaman-rakaman itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.  

“SPRM akan mengambil tindakan jika siasatan mendapati adanya amalan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata LDP telah mencapai matlamat parti untuk mempunyai sehingga 90 peratus ahli muda dalam barisan Majlis Tertinggi baharu.

Beliau menyatakan LDP telah membentuk biro-biro untuk melengkapkan Majlis Tertinggi.  

“Pada pilihan raya umum lalu, terdapat 930,000 pengundi muda berumur 18 sehingga 39 tahun di Sabah, yang merangkumi 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Sabah.  

“Ini menunjukkan bahawa generasi muda mempunyai kuasa untuk menentukan dan memilih kerajaan serta pemimpin yang mereka inginkan,” katanya.

Oleh itu katanya, pengundi muda perlu dilengkapi dengan kesedaran politik dan sosial.  

Beliau berkata, LDP akan menganjurkan lebih banyak seminar mengenai politik dan isu semasa agar golongan muda mempunyai pemahaman yang lebih luas tentang perkembangan politik semasa.  

“Kita mesti menggalakkan golongan muda untuk melibatkan diri dalam politik kerana mereka adalah pemangkin masyarakat hari ini dan masa depan negara kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, LDP turut menyampaikan dana pendidikan kepada 10 anak ahli parti yang layak dan telah mendaftar di institusi pengajian tinggi.  

— Yap Siong Han