TAWAU: Bomba Komuniti perlu ditubuhkan di lebih banyak kawasan penempatan yang dilihat berisiko tinggi, khususnya atas air dan mempunyai penduduk padat, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurutnya, Bomba Komuniti dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berperanan penting memberikan bantuan awal ketika berlaku musibah seperti kebakaran bagi mengelak kemusnahan lebih besar berlaku.
“Selaku pemimpin, saya menyokong usaha penubuhan lebih banyak Bomba Komuniti dan PBS di daerah ini… Bomba Komuniti Titingan, misalnya boleh dicontohi oleh penempatan atas air yang lain kerana mereka sangat berjaya dan aktif membantu ketika musibah,”katanya.
Beliau yang juga Adun Apas berkata demikian ketika melawat lokasi kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya 60 rumah atas air dan sebuah masjid di Kg Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, pada Ahad.
Nizam berkata, dalam kejadian itu, pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama agensi-agensi lain, termasuk Bomba Komuniti Titingan bertungkus-lumus memadam api kebakaran hampir satu jam setengah sebelum berjaya dipadamkan.
Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di penempatan padat penduduk agar sentiasa berhati-hati ketika memasak atau melakukan penyambungan elektrik kerana api mudah merebak cepat di kawasan sedemikian.
“Saya juga ingin menyatakan rasa simpati kepada semua mangsa kebakaran dan berharap mereka bersabar menghadapi dugaan di awal tahun baharu ini dan mudah-mudahan kesabaran itu nanti akan dibalas dengan lebih baik,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jawatankuasa Bencana Daerah akan menempatkan para mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang akan dikenalpasti segera.
Katanya, pendaftaran mangsa masih lagi berjalan dan beliau berharap segalanya berjalan lancar sehingga mereka ditempatkan di PPS.
Kebakaran yang dilaporkan berlaku jam 7.30 pagi itu melibatkan kneluasan kawasan terjejas dua ekar, manakala, pasukan BBP berjaya menyelamatkan sekitar 250 rumah lain daripada turut musnah dijilat api.
— Lagatah Toyos
Add Comment