Home » Penjawat awam perlu profesional, tolak perbezaan politik
Berita GRS Politik

Penjawat awam perlu profesional, tolak perbezaan politik

ALBUM: Nizam dan Amir bersama dengan kakitangan PPD Tawau ketika melawat reruai dalam majlis berkenaan.

TAWAU: Penjawat awam perlu sentiasa mengekalkan profesionalisme dalam menjalankan tugas, walaupun berbeza fahaman politik, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sebagai kakitangan kerajaan, sudah menjadi keutamaan berkhidmat kepada ‘government of the day’.

Katanya, dasar-dasar kerajaan perlu diterjemahkan dan disampaikan dalam bentuk yang betul supaya rakyat atau masyarakat dapat menerimanya dengan baik.

“Walaupun mungkin fahaman politik berbeza, tetapi apabila memegang tanggungjawab sebagai penjawat awam, tugas hakiki adalah melaksanakan segala arahan kerajaan yang sedang memerintah.

“Tindakan sabotaj atau penolakan terhadap dasar kerajaan semata-mata atas perbezaan politik boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan merosakkan perancangan kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Wisma Persekutuan Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Penyelenggaraan Bangunan Gunasama Wisma Persekutuan Tawau, Amir Kanje dan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Sima.

Sementara itu, Nizam berkata pihaknya sangat menghargai sumbangan penjawat awam kepada perkhidmatan masyarakat di negeri ini terutamanya di Tawau.

“Komitmen mereka dalam menyampaikan agenda kemajuan dan pembangunan kerajaan Perpaduan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat saya sanjungi.

“Saya berpandangan bahawa hubungan baik antara penjawat awam di peringkat negeri dan Persekutuan adalah kunci utama dalam melancarkan segala perancangan serta dasar kerajaan,” katanya.

Nizam turut menyeru semua kakitangan kerajaan di Tawau agar terus berkhidmat dengan dedikasi demi manfaat rakyat, tanpa mengira latar belakang politik peribadi.

“Saya yakin jika kita bekerja dengan ikhlas, penuh komitmen dan mendapat sokongan masyarakat, kita akan mencapai kejayaan,” katanya.

Terdahulu, Nizam turut memuji pencapaian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau yang membuktikan tiada yang mustahil untuk menjadi antara yang terbaik apabila semua pihak bekerja dengan jujur, fokus dan penuh integriti.

Pejabat Pendidikan Tawau telah memperoleh kedudukan pertama pencapaian GPD PPD Negeri Sabah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment