Home » Penjelasan Skim Insurans Berkelompok pada sidang DUN: Masidi
Berita GRS Politik

Penjelasan Skim Insurans Berkelompok pada sidang DUN: Masidi

KENANGAN: Masidi merakamkan gambar bersama semasa di majlis berkenaan.

RANAU: Kerajaan negeri akan menjelaskan perincian pelaksanaan Skim Insurans Berkelompok kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah minggu depan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penjelasan itu termasuklah butiran skim berkenaan yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Sabah berusia antara satu bulan sehingga 80 tahun.

“Kita akan memberi penjelasan lanjut berhubung skim berkenaan kepada semua ADUN pada persidangan DUN kita akan datang.

“Ini bagi memastikan setiap ADUN tahu butiran mengenai skim ini, tapi yang pasti ialah ia tidak perlu dipohon.  Semua rakyat Sabah berusia satu bulan sehingga 80 tahun secara automatik mendapat perlindungan kemalangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu di sini.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, permohonan hanya akan dilakukan apabila proses membuat tuntutan skim berkenaan.

“Soal permohonan hanya timbul apabila membuat tuntutan berlaku, pada waktu itu hanya tiga dokumen diperlukan. Satu adalah laporan polis menyatakan berlaku kecederaan,kematian atau kemalangan.

“Kedua adalah laporan doktor dan ketiga adalah dokumen kewarganegaraan seperti MyKad bagi mengesahkan bahawa pemohon adalah penduduk asal Sabah,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Sabah meluluskan Skim Insurans Berkelompok yang akan memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta penduduk tempatan.

Perlindungan insurans kemalangan itu adalah percuma kepada setiap penduduk yang layak. 

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment