Home » Penjualan ‘spirit’ perlu dipantau
Uncategorized

Penjualan ‘spirit’ perlu dipantau

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berucap di Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi D-Ledger di Wisma Wanita di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa perlu membuat pemantauan terhadap penjualan barangan berbahaya yang sering digunakan sebagai bahan pelarut organik seperti metanol dipasaran terbuka.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, metanol yang juga dikenali dengan ‘spirit’ itu perlu dihadkan penjualannya agar tidak membahayakan khususnya mereka yang dibawah umur.

“Saya difahamkan baru-baru ini berlaku satu kes keracunan metanol di sebuah sekolah di Pitas dimana asrama berkenaan mempunyai seramai 38 penghuni dan 20 orang daripadanya mengalami keracunan dan ada juga yang kritikal.

“Justeru, saya meminta agar penjualan barangan berbahaya ini terus dipantau dan menghadkan penjualannya kepada bidang-bidang tertentu sahaja. Saya tidak mahu perkara ini berulang kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Sistem Aplikasi D-Ledger di Wisma Wanita di sini, hari ini.

James berkata demikian bagi mengulas kejadian kes seramai 20 pelajar lelaki berusia 13 sehingga 17 tahun di sebuah sekolah di Pitas dilaporkan mengalami keracunan metanol. 

James turut menyarankan khususnya para guru-guru untuk terus memantau pergerakan pelajar yang tinggal di asrama terutama pada ketika cuti.

“Para pelajar yang tinggal di asrama terutama pada waktu cuti perlu dipantau pergerakan mereka dan jangan biarkan tinggal bersendirian kerana kita tidak mahu perkara tidak diingini seperti ini berlaku.

“Saya juga akan mendapatkan laporan berkaitan kes ini daripada pihak berkaitan khususnya barang yang digunakan oleh mereka itu,” katanya.

Yap Siong Han