Home » Peranan pemimpin akar umbi di DUN Apas dihargai
Berita GRS Politik

Peranan pemimpin akar umbi di DUN Apas dihargai

SUMBANGAN: Nizam (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang pemimpin di peringkat kampung.

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan penghargaan kepada pemimpin akar umbi yang terus memberikan sokongan serta memainkan peranan penting dalam membantu kepimpinan beliau dan kerajaan negeri hari ini.

Nizam berkata, kerjasama erat antara pemimpin kampung, ketua-ketua cawangan parti, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam serta pemimpin belia adalah kunci utama dalam menyampaikan bantuan serta menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Saya amat menghargai peranan semua pemimpin di peringkat akar umbi yang terus membantu saya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Tanpa mereka, usaha untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan isu-isu tempatan tidak akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian dalam satu majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pemimpin masyarakat di DUN Apas, di sini, hari ini.

Beliau juga menyeru agar kerjasama ini terus diperkukuh bagi memastikan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya golongan miskin tegar.

“Sejak Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus) mengambil alih tampuk pemerintahan, kadar kemiskinan tegar di Sabah semakin berkurangan hasil pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri dan pusat,” katanya.

Sementara itu, katanya, hampir 350 penerima menerima sumbangan raya sebagai sebahagian daripada program tahunan dalam usaha meringankan beban rakyat menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan, tetapi simbol kebersamaan kita dalam memastikan setiap keluarga dapat menyambut hari lebaran dengan lebih ceria.

“Saya akan terus berusaha untuk membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat di DUN Apas,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi bersama kepimpinan kerajaan negeri bagi memastikan setiap rakyat menikmati kemajuan serta pembangunan yang lebih baik. 

–Hamzah Sanudin

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment