Home » Perbandingan mana pun, Warisan tetap gagal urus ekonomi Sabah
Berita GRS Politik

Perbandingan mana pun, Warisan tetap gagal urus ekonomi Sabah

Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Aksyah Haji Nasrah

KOTA KINABALU,: Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan segala bentuk perbandingan ekonomi yang digunakan untuk mempertahankan pentadbiran Warisan hanya menyerlahkan kelemahan sebenar kerajaan terdahulu itu.

Menurutnya, hujah-hujah yang dibawa penyokong pembangkang termasuk perbezaan antara nilai dan kadar pertumbuhan tidak mampu menepis fakta bahawa pentadbiran Warisan selama 26 bulan adalah satu kegagalan.

“Penyokong pembangkang cuba sempitkan skop perdebatan. Mereka mainkan terma teknikal seperti nilai dan kadar pertumbuhan. Tapi hakikatnya, dari arah mana pun perbandingan dibuat, Warisan tetap gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa penyokong Warisan hanya menonjolkan angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2019 sebanyak RM85 bilion, sedangkan tempoh penuh pentadbiran mereka bermula sejak Mei 2018 hingga September 2020.

“Kenapa hanya tunjuk angka tahun 2019? Kenapa tidak ambil kira keseluruhan 26 bulan mereka jadi kerajaan? Apakah kerana mahu sembunyikan kegagalan lain, terutamanya dalam tahun 2020?” katanya.

Aksyah menjelaskan, walaupun tahun 2020 dikaitkan dengan permulaan pandemik Covid-19, namun itu bukan alasan kukuh kerana kesannya hanya mula dirasai pada suku akhir tahun tersebut.

Katanya, apabila GRS mengambil alih pentadbiran pada suku akhir 2020, ekonomi negeri masih berada dalam keadaan mencabar, namun mereka tetap mampu menunjukkan pemulihan pada tahun berikutnya.

“GRS mewarisi ekonomi tenat. Tapi tahun 2021, walaupun masih dalam krisis Covid-19, Sabah berjaya catat pertumbuhan KDNK 1.5 peratus dengan nilai RM78.9 bilion. Berbanding 2020 yang negatif 7.5 peratus, ini satu pencapaian besar,” jelas beliau.

Tambahnya, prestasi ekonomi Sabah terus mencatat peningkatan setiap tahun selepas itu, termasuk dari segi hasil negeri yang mencecah lebih RM5 bilion – rekod tertinggi dalam sejarah negeri.

“Ini bukti jelas kemampuan GRS memulihkan ekonomi. Tiada satu pun tahun yang menunjukkan kemerosotan selepas GRS ambil alih,” katanya.

Aksyah turut menegaskan bahawa rakyat tidak perlu dikelirukan dengan istilah ekonomi yang kompleks semata-mata untuk mempertahankan kerajaan terdahulu.

“Tidak semua rakyat ada latar belakang ekonomi. Yang mereka mahu tahu, sama ada angka naik atau turun. Angka naik itu tanda positif. Dan itu yang GRS buktikan,” katanya.

Beliau menyimpulkan bahawa pentadbiran di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor lebih berjaya berbanding era Warisan berdasarkan pencapaian ekonomi yang konsisten dan kemampuan menyediakan lebih banyak peruntukan pembangunan.

“Kejayaan ini turut membantu merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh rakyat Sabah,” katanya.

Aksyah yang kini menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyifatkan penyokong Warisan bersikap narsistik apabila enggan menerima kelemahan pentadbiran lalu.

“Biar apa pun alasan atau terma digunakan, rakyat boleh menilai. Fakta tidak boleh diputar belit,” katanya.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment