KOTA KINABALU: Pendekatan untuk lebih bersikap tenang dan sederhana dalam kalangan gabungan parti adalah amat penting.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, sebarang kebimbangan atau rasa tidak puas hati tidak seharusnya dibiarkan mengancam perpaduan GRS.
Beliau mengakui, perbezaan pandangan antara parti dalam satu gabungan adalah perkara biasa dan isu-isu sebegitu lebih baik disalurkan dan diselesaikan melalui dialog secara dalaman.
Pihaknya percaya, di bawah kepimpinan Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sebarang perbezaan akan dapat ditangani dengan kematangan dan rasa hormat bersama.
Joniston menyifatkan perbezaan pandangan yang timbul dalam kalangan parti komponen GRS menimbulkan kebimbangan mengenai perpaduan dan hala tuju GRS.
“Saya amat percaya kepimpinan dalam GRS bukan sahaja diukur melalui kekuatan politik, tetapi juga keupayaan untuk mendengar, bertolak ansur dan bekerjasama walaupun dalam keadaan tidak sependapat.
“Pendekatan yang membina adalah kunci untuk memastikan gabungan kekal kukuh dan fokus. Saya amat percaya adalah bijak untuk semua parti komponen menangani sebarang isu dengan semangat perpaduan.
“Apapun kebimbangan yang kita ada, mari kita bawa ke meja perbincangan dan selesaikan secara harmoni,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) sekali lagi menegaskan komitmen PBS untuk memastikan gabungan kekal berpaksikan perpaduan dan matlamat bersama.
Menurutnya, sebagai ahli pengasas GRS, PBS mengiktiraf nilai yang dibawa oleh setiap parti komponen kerana kepelbagaian adalah kekuatan, dan ia mesti dipandu oleh saling hormat dan matlamat bersama.
“Visi kita untuk kemajuan Sabah harus sentiasa mengatasi kepentingan peribadi atau kepentingan parti. Inilah semangat di mana GRS ditubuhkan, dan inilah semangat yang perlu kita pertahankan.
“PBS tetap komited untuk memainkan peranan yang membina dalam memastikan GRS kekal bersatu dan berkesan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua parti komponen dapat menunjukkan sikap berhemah dan mengutamakan mekanisme dalaman bagi menyelesaikan sebarang konflik.
Katanya, PBS kekal teguh dalam komitmennya terhadap prinsip perpaduan, hormat-menghormati dan tanggungjawab bersama dalam GRS.
“Kami yakin dengan mengekalkan nilai-nilai ini, gabungan kita akan terus menjadi lambang pentadbiran yang berkesan dan pemangkin kepada perubahan positif di Sabah,” katanya.
–Siti Aisyah Narudin
Add Comment