KOTA KINABALU: Tiada lagi sekatan untuk kapal-kapal yang bergerak terus ke Sabah, susulan usaha Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah.
“Saya bangkitkan perkara ini pada mesyuarat peringkat Persekutuan. Tiada perkara seperti kawalan pergerakan kapal. Ini ditentukan oleh (sifat) perniagaan,” kata Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita ada banyak kapal yang datang terus ke Sabah untuk memunggah barang mereka dan jika Sabah ada barang yang mereka mahu mereka akan bawa produk itu (balik) bersama mereka.
“Ada juga kapal yang pergi ke Pelabuhan Klang berbanding Sabah kerana Sabah tidak mempunyai komoditi untuk dihantar keluar.
“Kapal memunggah barang mereka di Pelabuhan Klang sebelum menghantarnya ke Sabah adalah lebih mahal kerana pengangkutan dan perbelanjaan lain. Selain itu, tiada had bagi kapal yang datang terus ke sini,” katanya kepada Daily Express secara eksklusif sempena tahun ketiganya sebagai Ketua Menteri.
Beliau berkata Dasar Kabotaj yang mewajibkan semua kapal pergi ke Pelabuhan Klang terlebih dahulu dan memuatkan kargo mereka ke kapal berdaftar MISC yang menuju ke Sabah telah ditarik balik.
“Sama ada syarikat perkapalan dan ahli perniagaan datang ke Sabah atau tidak, terpulang kepada mereka. Mereka yang datang ada produk yang ingin dibeli dari sini,” katanya.
Memetik operasi SK Nixilis dan Kibing berbilion ringgit, beliau berkata kapal mereka datang apabila mereka mempunyai barang untuk dimuat dan dipunggah.
Untuk rekod, dasar Kabotaj 1980 telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir, di mana semua syarikat perkapalan perlu datang ke Pelabuhan Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching dan Kota Kinabalu.Dasar itu telah dipersalahkan kerana kos sara hidup 30 peratus lebih tinggi di Labuan, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, kesesakan yang kerap berlaku di jalan-jalan pantai barat terutama sekali ke Tuaran dan Papar ke Ibu Kota Negeri akan ditangani.
“Ini adalah sesuatu yang kami rancang untuk lakukan. Saya bangkitkan perkara ini dalam Kabinet pada tahun lepas. Malah, ini telah dicadangkan kepada saya beberapa kali,” kata Hajiji.
Memetik laluan dari Tuaran, Papar dan Penampang, beliau berkata trafik sangat teruk.“Sesak akan berterusan walaupun Lebuhraya Pan Borneo sekarang dipanjangkan. Oleh itu, infrastruktur tambahan diperlukan. Pegawai kami sedang meneliti perkara ini dan itu termasuk kewangan,” katanya.
Beliau berkata, rancangan serupa dibuat ketika Barisan Nasional berkuasa tetapi ia gagal mendapat sambutan.
“Daripada kita membayar bil untuk permulaan dan operasi projek untuk tempoh masa yang ditetapkan – mungkin 30 tahun – saya cadangkan kita hanya membuka jalan,” katanya.
Rancangan dibuat pada 2021 untuk Ibu Negeri Sabah mempunyai sistem transit pantasnya sendiri dengan cadangan perjanjian melibatkan empat firma, termasuk anak syarikat cabang pelaburan Kerajaan Sabah Qhazanah Sabah Bhd (QSB).
— Hayati Dzulkifli, James Sarda