KIULU: Rakyat di sini kini berada di landasan tepat berikutan sokongan padu diberikan kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu Janih Bangud berkata, parti tempatan itu kini lebih gagah selepas pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, baru-baru ini.
“Sesungguhnya pelancaran ini adalah bersejarah kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat Kiulu kerana Mesyuarat Bahagian Tahunan yang julung kali diadakan dihadiri sendiri Hajiji.
“Kita sungguh bertuah mempunyai seorang pemimpin yang bersikap sederhana dan mempunyai prinsip kepimpinan tersendiri serta berjiwa besar,” katanya.
Beliau berkata, semua ahli Gagasan Rakyat perlu terus memberikan sokongan padu kepada presiden.
“Saya juga berterima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu atas komitmen dan dapat mengenal pasti sebanyak 106 cawangan di kawasan ini sekali gus membentuk AJK penaja cawangan.
“Saya juga merakamkan penghargaan dan syabas kepada 66 cawangan yang berjaya memenuhi tuntutan parti dan dapat melaksanakan persidangan,” katanya.
Janih berkata, Gagasan Rakyat Kiulu akan mengorak langkah sekali gus mencipta kejayaan dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik selari dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menyentuh mengenai ekonomi Kiulu, Janih berkata, Kiulu pada dasarnya adalah hab pertanian dan sesuai dalam Hala tuju pembangunan SMJ.
Katanya, sektor pertanian adalah salah satu aktiviti yang boleh membangunkan ekonomi petani Kiulu.
“Segala jenis tanaman boleh dilakukan, contohnya nenas, halia, lada dan banyak lagi. Cabarannya ialah tidak ada pusat penjualan.
“Pelancongan sudah diusahakan di Kiulu dan kini dikenali sebagai Hab eko pelancongan, tapi perlu ingat bahawa lebih 80 peratus penduduk Kiulu adalah petani serta peladang.
“Sebelum ini, Kiulu juga dikenali sebagai hab penanaman padi huma. Aktiviti ini harus dihidupkan semula. Peranan para pemimpin masa kini perlu membantu dan perkenalkan baka padi huma yang bermutu tinggi,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment