Home » Perkukuhkan jentera GRS, fokus kawasan tumpuan :Azizah
Berita GRS Politik

Perkukuhkan jentera GRS, fokus kawasan tumpuan :Azizah

SIAP SEDIA:Azizah bersama jentera Wanita GRS Dun Karambunai dan Dun Inanam.

INANAM:Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, menegaskan keperluan memperkukuhkan jentera parti khususnya di kawasan tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau berkata, jentera wanita GRS perlu lebih proaktif mengenal pasti pengundi di setiap kawasan serta memastikan strategi turun padang dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh.

SIAP SEDIA:Azizah bersama jentera Wanita GRS Dun Karambunai dan Dun Inanam.

“Jentera mesti perkemas gerak kerja. Kita jangan tunggu di pejabat, sebaliknya turun padang, ziarah rumah ke rumah, dekati masyarakat dan kenali isu mereka secara dekat,” katanya ketika berucap pada Program Jentera Wanita GRS DUN N16 Karambunai dan N18 Inanam di sini, semalam.

Turut hadir Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penyelaras Wanita GRS Parlimen Sepanggar, Datuk Aziah Atoh; serta jentera wanita GRS bagi kedua-dua DUN berkenaan.

Azizah menegaskan kekuatan sebenar GRS terletak pada perpaduan dan kesediaan jentera akar umbi yang memahami aspirasi rakyat.

“Wanita adalah tulang belakang. Jika kita rapat dengan rakyat, kita dapat yakinkan mereka tentang perjuangan GRS sebagai wadah terbaik untuk membawa Sabah terus maju,” jelasnya.

Beliau turut menyeru semua pemimpin dan ahli wanita GRS meningkatkan semangat juang, berganding bahu serta memastikan setiap kawasan tumpuan berada dalam keadaan siap siaga.

“Dengan jentera yang mantap dan kesatuan yang kukuh, GRS pasti menjadi pilihan utama rakyat Sabah. Inilah masanya kita buktikan kekuatan sebenar dan memastikan kemenangan besar milik GRS,” tegas beliau.

— TAMAT