KOTA KINABALU – Kadar pengangguran adalah antara indikator yang sering digunakan bagi menilai prestasi ekonomi sesebuah negeri, selain angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Isu pengangguran di Sabah berjaya menarik perhatian pihak tertentu yang mempersoalkan keberkesanan tindakan kerajaan dalam menanggani perkara itu.
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul melihat terdapat kontras prestasi dalam dua pentadbiran sebelum dan selepas fasa pandemik Covid-19 yang lalu.
“Ketika Parti Warisan (Warisan) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN), mereka mewarisi kadar pengangguran sebanyak 5.7 peratus.
“Namun dalam tempoh dua tahun selepas itu, kadar tersebut melonjak kepada 8.2 peratus, kenaikan yang cukup membimbangkan dan mencerminkan kelemahan dalam menangani tekanan pasaran buruh yang diakibatkan oleh krisis kesihatan global.
“Sementara itu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengambil alih kerajaan selepas itu pula mewarisi kadar pengangguran tertinggi dalam sejarah negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Bagaimanapun, Dr Ramzah yang juga penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, pentadbiran GRS kini dilihat berjaya menurunkan kadar pengangguran secara konsisten daripada 8.2 peratus pada 2020 kepada 7.5 peratus pada 2022 dan kekal pada tahap itu pada 2023.
“Walaupun berlaku sedikit peningkatan semula kepada 7.9 peratus pada tahun 2024, trend keseluruhannya menunjukkan pemulihan yang lebih bermakna berbanding kemerosotan yang dialami sebelum ini.
“Apa yang sedang dilaksanakan oleh GRS ialah pemulihan ekonomi secara berstruktur dan bukannya bertindak reaktif terhadap krisis semasa.
“Pentadbiran negeri telah mengambil langkah membina keupayaan institusi, memperkukuh sistem kutipan hasil dan merancang perbelanjaan dengan lebih telus dan berfokus,” katanya.
Beliau melihat pendekatan yang diambil itu bukan sahaja membantu meredakan kesan jangka pendek, tetapi turut menyediakan asas kukuh bagi pembangunan jangka panjang yang lebih saksama.
“Kesimpulannya, naratif ekonomi Sabah di bawah GRS bukan tentang mengejar angka besar semata-mata. Ia adalah tentang memastikan setiap ringgit yang dikutip membawa kesan yang lebih lestari.
“Ia adalah tentang mengurangkan jurang pendapatan, meningkatkan keupayaan fiskal, dan menstruktur semula ekonomi agar lebih bersedia menghadapi cabaran global.
“Dalam erti kata lain, Sabah sedang menuju ke arah pemulihan yang berkualiti, bukan sekadar mencatatkan angka pertumbuhan tanpa arah,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai angka KDNK yang turut dijadikan asas hujah, Dr Ramzah berpandangan menilai ekonomi hanya melalui angka tidak mencerminkan gambaran sebenar keberkesanan dasar yang sedang dilaksanakan.
“Dengan nilai KDNK sebanyak RM83.2 bilion, Sabah belum lagi mencapai paras tahun 2019 iaitu RM85.6 bilion, namun, penilaian sebegitu sempit tidak lagi sesuai digunakan dalam menilai keberkesanan dasar ekonomi yang sedang dilaksanakan hari ini.
“Hakikatnya, ekonomi Sabah sedang melalui satu peralihan penting, daripada sekadar mengejar saiz kepada memperkukuh asas.
“Tumpuan pentadbiran sejak pemerintahan bertukar pada 2020 bukan hanya kepada pertumbuhan, tetapi kepada kualiti pertumbuhan, kecekapan fiskal dan daya tahan ekonomi jangka panjang.
“Ini merupakan naratif baharu yang menekankan pemulihan ekonomi yang tersusun dan mampan. Petunjuk utama yang sering diabaikan dalam perbincangan awam ialah keupayaan negeri menjana hasil secara berdikari,” katanya.
Katanya lagi, jika diteliti aliran bagi kutipan hasil negeri sejak tahun 2019 terdapat peningkatan yang ketara, khususnya selepas fasa terburuk pandemik.
“Pada tahun 2019, hasil negeri berjumlah RM4.3 bilion dan ketika pandemik melanda, hasil menurun kepada RM3.6 bilion pada 2020.
“Namun bermula 2021, prestasi kewangan negeri menunjukkan pemulihan luar biasa dengan kutipan meningkat kepada RM5.5 bilion, sebelum melonjak kepada RM6.9 bilion pada tahun 2022 dan kekal stabil pada tahap yang sama pada tahun 2023.
“Angka ini menandakan bahawa walaupun saiz keseluruhan ekonomi belum kembali kepada paras sebelum pandemik, keupayaan kerajaan negeri untuk menjana hasil telah mengatasi prestasi masa lalu.
“Seiring dengan itu, kedudukan rizab kewangan negeri turut menunjukkan peningkatan, pada tahun 2018, rizab negeri berada pada paras RM3.8 bilion, sebelum menurun kepada RM3.25 bilion pada 2019 dan RM2.95 bilion pada 2020. Namun, tahun 2021 menandakan titik perubahan apabila rizab meningkat semula kepada RM3.43 bilion,” katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun angka rasmi untuk tahun selepas itu belum diumumkan sepenuhnya, maklumat dalaman menunjukkan peningkatan rizab yang berterusan.
“Ini mencerminkan keupayaan pengurusan kewangan yang lebih berhemah serta pemerkasaan institusi hasil di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.
“Lebih penting daripada saiz ekonomi ialah bagaimana kekayaan diagihkan. Dalam hal ini, penurunan indeks jurang pendapatan antara lapisan masyarakat memberi isyarat positif terhadap usaha mengecilkan ketidakseimbangan ekonomi.
“Pada tahun 2019, indeks ini berada pada tahap 0.396, menjelang tahun 2022, ia telah menurun kepada 0.390. Walaupun perubahannya tampak kecil, ia menunjukkan kemajuan ke arah pengagihan yang lebih adil, hasil daripada pelbagai dasar inklusif dan intervensi sosial yang dilaksanakan,” katanya.
Jelas Ramzah, kesemua indikator ini memberikan gambaran yang lebih tepat tentang keadaan sebenar ekonomi Sabah dan memperlihatkan sebuah negeri yang sedang membina kekuatan dari dalam.
“Keadaan ini menunjukkan negeri tersebut berusaha untuk berdikari secara fiskal, menstruktur semula tatakelola perolehan, serta merancang pembangunan dengan mengambil kira daya tahan jangka panjang, bukan hanya angka pertumbuhan tahunan, yang sedang terbentuk bukan sekadar ekonomi besar, tetapi ekonomi yang lebih cermat, adil, dan mampan,” ujarnya.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memaklumkan ekonomi Sabah terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila KDNK meningkat daripada RM82.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM83.2 bilion pada 2023, dengan unjuran bagi tahun 2024 sebanyak RM84.9 bilion.
Menurutnya, pencapaian itu selari dengan pertumbuhan KDNK nasional yang dijangka meningkat sebanyak 2.5 peratus menerusi Rangka Kerja Ekonomi Madani di bawah Belanjawan Nasional 2025.
— SINAR HARIAN
Add Comment