Home » Program pembangunan RMK13 selaras dengan Halatuju SMJ
Berita GRS Politik

Program pembangunan RMK13 selaras dengan Halatuju SMJ

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyambut baik program pembangunan dan  peruntukan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang selaras  dengan pelan pembangunan negeri Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Ia juga jelas mencerminkan sokongan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah  kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau turut berpuas hati apabila beberapa projek berimpak tinggi yang dicadangkan  oleh Kerajaan Negeri telah dimasukkan dalam RMK13. 

Antara projek pembangunan yang dicadangkan termasuklah perluasan utiliti kritikal (air,  kumbahan, pemindahan), infrastruktur strategik (jalan raya, tebatan banjir, kesihatan),  serta hab Ekonomi Biru. 

Di bawah RMK13, Kerajaan Persekutuan juga akan memberi keutamaan kepada  rangkaian jalan Sabah-Sarawak-Kalimantan yang sejajar dengan pemindahan ibu  negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur, katanya. 

Turut diberi penekanan ialah strategi pembasmian kemiskinan secara intensif serta  sokongan terhadap transformasi digital dan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan  sederhana (PMKS). 

“Kerajaan Negeri pada masa ini telah merangka pelan untuk memastikan Sabah terus  maju ke hadapan,” katanya. 

–Tamat