KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui secretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang menyusun dan akan melaksanakan program-program untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara tindakan kerajaan ialah memperuntukkan RM125 juta setiap tahun untuk Program Rumah SMJ bagi membina rumah untuk rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih di seluruh negeri.
“Kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM175 juta khas untuk program membasmi kemiskinan dengan mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan sasar bagi membolehkan mereka terkeluar dari kategori miskin tegar”.
“Kerajaan Negeri juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mensejahterakan rakyat dengan langkah ke arah menoktahkan kemiskinan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Hajiji berkata, pembinaan tamadun yang gemilang bergantung kepada pencapaian sesebuah bangsa atau ummah kerana prestasi ummah yang baik pasti melahirkan tamadun agung yang memberi kesejahteraan kepada umat sejagat.
Sebab itu katanya, pembangunan insan merupakan aspek penting yang terkandung dalam Dasar Hala Tuju SMJ yang juga selari dengan kerangka pembangunan insan Malaysia Madani ke arah “Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghafur” atau negeri yang baik yang mendapat keredhaan dan keampunan Tuhan yang maha pengasihani.
Beliau berkata, selaras dengan tuntutan itu Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan latihan di bawah Hala Tuju SMJ dengan matlamat melahirkan modal insan yang berilmu, mahir dan berketrampilan, malah lebih menjurus kepada melahirkan generasi pewaris yang berilmu dan berupaya mengendali segala urusan dan aktiviti dalam pelbagai aspek, seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya
secara bijaksana, berintegriti dan adil, demi kesejahteraan negeri dan seluruh rakyat.
“Atas faktor itu dan selari dengan teras kedua Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Program Felo SMJ 2.0 diteruskan pada tahun ini.
Inisiatif Felo SMJ ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini. Kerajaan Negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti”.
“Program yang bermula awal bulan ini, selain graduan, kita juga membuka ruang kepada pelajar lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya. Mereka ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan matlamat untuk menyediakan pelapis kepimpinan Sabah pada masa akan datang”, tegasnya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berada pada landasan yang tepat selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ, yang kini hasilnya telah dapat disaksikan dan rasakan, terutama dalam usaha membangunkan semula ekonomi negeri menerusi konsep mesra pelabur dan mempermudahkan urusan para peniaga serta pelabur luar yang ingin menjalankan perniagaan di negeri ini.
Katanya, selaku pemimpin ummah, Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan pentingnya ukhuwah dan perpaduan dalam bermasyarakat dan bernegara, kerana persengketaan dan perbalahan di kalangan umat, akan melemahkan dan merugikan mereka sendiri, yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan dan kehancuran.
Menurutnya, budaya adu domba, dendam kesumat, benci membenci, fitnah memfitnah dan berpuak-puak, bukan hanya akan merencatkan usaha membina negara yang bersatu-padu, stabil dan progresif, malah akan menjadikan kita berpecah-belah, lemah dan mudah ditindas.
“Dalam konteks negeri Sabah, semangat kekitaan dan perpaduan kaum perlu sentiasa dijaga dan dipelihara. Sekarang adalah masa dan detiknya untuk kita mempertingkatkan lagi silaturrahim, membina ukhuwah dan kesepakatan, kerana kita perlu merencana dan
mengatur masa hadapan yang lebih kondusif dan cemerlang, selaras dengan gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju SMJ yang matlamatnya ke arah mencipta kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik untuk dinikmati bersama”, tambahnya.
Hajiji berkata, sambutan Maulidur Rasul diraikan setiap tahun dengan matlamat agar semangat cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW terus segar di dalam hati sanubari setiap umat Islam.
Terdahulu, Hajiji bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan ribuan umat Islam menyertai perarakan dari Padang Merdeka ke SICC.
–Tamat
Add Comment