TAWAU: Komitmen kerajaan negeri Sabah dalam memperkukuh agenda tenaga mampan terus diperkasa menerusi pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar Tawau yang dijangka menjana sehingga 15 megawatt tenaga bersih menjelang penghujung tahun 2026.
Projek berimpak tinggi yang dibangunkan di atas tanah seluas lebih 45 ekar ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Qhazanah Energy Sdn Bhd (QESB) dan QSolar Tawau Sdn Bhd.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, projek ini bukan sahaja dapat menstabilkan bekalan tenaga di Pantai Timur, malah mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk memacu pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Kita bukan hanya ingin menyelesaikan isu bekalan elektrik di Pantai Timur, tetapi berusaha membentuk masa depan tenaga yang lebih bersih, stabil dan berdaya tahan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di Jalan Timur, Kubota, pada Sabtu.
Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Katanya, penjanaan 15MWac daripada ladang solar ini menjadi langkah konkrit ke arah kestabilan sistem grid Sabah yang masih bergantung kepada sumber tenaga berasaskan diesel dan gas asli.
“Pelaksanaan projek ini dapat memperkukuh keupayaan grid negeri, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta mengimbangi agihan tenaga antara Pantai Barat dan Pantai Timur,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan projek ini selaras dengan hala tuju jangka panjang sektor tenaga melalui Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP).
Beliau turut menekankan bahawa projek ini membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya komuniti setempat di sekitar Tawau.
“Fasa pembinaan, operasi dan penyelenggaraan ladang solar ini dijangka membuka pelbagai peluang pekerjaan.
“Kontraktor serta pembekal tempatan akan turut terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pembinaan dan perkhidmatan sokongan.
“Anak-anak muda tempatan juga akan menerima latihan khusus untuk membolehkan mereka mengurus dan menyelenggara sistem solar ini secara profesional dan berkesan,” katanya.
Tambahnya, inisiatif ini menunjukkan bahawa projek ini bukan bersifat sementara, tetapi berperanan dalam membina kapasiti tempatan jangka panjang.
“Pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta penglibatan rakyat Sabah dalam sektor tenaga hijau akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih progresif dan inklusif.
“Pelancaran ini sebagai titik permulaan kepada perubahan landskap tenaga di negeri ini, khususnya di kawasan Pantai Timur yang sering berdepan cabaran bekalan elektrik,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada QSB dan QESB atas usaha gigih mereka dalam menyokong dasar kerajaan dan memacu pembangunan tenaga mampan.
“Mensejahterakan rakyat ialah tanggungjawab kerajaan hari ini. Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi impak positif kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment