Home » RM13.66 juta diperuntukkan bagi pemeliharaan warisan budaya dan seni tahun ini
Berita GRS Politik

RM13.66 juta diperuntukkan bagi pemeliharaan warisan budaya dan seni tahun ini

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif (kiri) mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin di Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).

TAWAU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi  memastikan warisan budaya dan seni Sabah terus dipelihara, kata Ketua Menteri Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

“Kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha bagi menambah baik pemeliharaan  warisan budaya untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri  ini,” katanya semasa Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT). 

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr  Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif. 

Acara yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau malam ini turut diserikan  dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah  Tussin. 

“Saya yakin festival ini antara yang akan membawa impak besar terhadap sektor  pelancongan dan ekonomi tempatan. Kemasukan pelancong domestik dan  antarabangsa sempena festival ini bukan setakat untuk mengenali khazanah budaya  kita tetapi turut memberi limpahan rezeki kepada semua yang terlibat secara tidak  langsung. 

“Ini termasuk usahawan, pengusaha homestay, penggiat seni dan peniaga kecil, sekali  gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat. 

“Festival ini juga merupakan satu medium untuk mendidik generasi muda tentang  kepentingan menjaga dan menghargai khazanah budaya yang tak ternilai,” katanya. 

Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa pembinaan Pusat Kebudayaan  Antarabangsa Tawau (TICC), yang dijadualkan siap pada Disember 2027, sudah pasti  akan menjadi hab kebudayaan dan pentas utama pertembungan seni serta warisan  pelbagai etnik apabila siap kelak. 

“Ini sekali gus akan melonjakkan Tawau sebagai pusat kebudayaan antarabangsa yang  berdaya saing,” ujarnya.

Seiring dengan tema “Kepelbagaian Budaya: Pahlawan, Kraf Tangan dan  Perkahwinan”, FKAT adalah manifestasi keindahan dan keunikan masyarakat pelbagai  kaum di Sabah, katanya. 

Ketua Menteri berkata festival ini bukan sahaja menjadi ruang pameran budaya, tetapi  juga medan interaksi antara komuniti daripada pelbagai latar belakang, termasuk  peserta dari Kazakhstan, Indonesia dan Filipina. 

“Ia turut memperkukuh peranan Tawau sebagai bandar sempadan yang kaya dengan  jaringan diplomasi budaya dan kerjasama serantau. 

“Oleh itu, festival ini menjadi wadah untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum,  mempertingkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya serta memupuk rasa  hormat dan penghargaan terhadap warisan nenek moyang kita,” katanya. 

–Tamat