Home » Razali tegas isu keselamatan Jalan Tebobon perlu diatasi
Berita GRS Politik

Razali tegas isu keselamatan Jalan Tebobon perlu diatasi

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, menggesa kontraktor yang mengendalikan projek jejambat (flyover) di Tebobon, Sepanggar segera memperbaiki pelan pengurusan trafik susulan rungutan berterusan penduduk.

Beliau berkata kelemahan pengurusan lalu lintas bukan sahaja menyebabkan kesesakan luar biasa hampir sepanjang hari, malah meningkatkan risiko kemalangan, termasuk di kawasan yang pernah merekodkan insiden maut.

“Pusingan U terlalu jauh, papan tanda tidak jelas dan membingungkan. Tambahan pula, kawasan ini melibatkan empat sekolah serta kawasan perumahan padat yang menambah risiko keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Razali menjelaskan kesesakan juga berpunca daripada kelewatan penurapan jalan di Bandar Sierra yang menyebabkan lorong menjadi sempit. Katanya, kontraktor sepatutnya menyediakan pelan kontinjensi dan melaksanakan pemantauan berjadual, bukannya membiarkan rakyat menanggung kesusahan.

Beliau menegaskan kontraktor tidak boleh sambil lewa kerana projek berimpak besar memberi kesan langsung kepada rakyat. Razali menggesa supaya papan tanda sementara ditambah, laluan alternatif lebih efisien disediakan serta pengurusan trafik disemak semula segera.

“Infrastruktur seharusnya memudahkan rakyat, bukan menyusahkan,” katanya.

— TAMAT