Kenyataan Ketua Wira Warisan Pusat, saudara Terence Au, yang cuba meredakan kesan penularan dua pucuk surat rasmi bertarikh 2019 daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Pertama, beliau secara tidak langsung mengakui ketulenan surat tersebut, yang mengandungi nota bidai daripada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal. Maka persoalan pokok bukan lagi soal kesahihan dokumen – tetapi mengapa dan atas kapasiti apa, seorang Ketua Menteri menulis nota “SUKACITA DAPAT DILULUSKAN” terhadap permohonan dokumen pengenalan seperti MyKAS dan MyPR?
Frasa itu bukan satu formaliti. Ia adalah isyarat politik. Ia membawa maksud bahawa permohonan tersebut wajar dipertimbangkan untuk kelulusan – bukan dengan berhati-hati, tetapi dengan penuh kesukaan. Dan ini menunjukkan satu bentuk ideologi pentadbiran yang terbuka dan mesra terhadap pemberian dokumen kewarganegaraan – meskipun jelas proses itu bukan di bawah kuasa mutlak Ketua Menteri.
Kami tidak mempertikaikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Institusi tersebut menjalankan tugas mengikut prosedur dan undang-undang. Tetapi kita berhak mempertikaikan apabila kuasa politik digunakan secara halus untuk memberi sokongan kepada proses yang menyentuh status kerakyatan – perkara yang amat sensitif dalam konteks Sabah.
Soalnya lebih besar daripada satu nota kecil. Soalnya ialah masa depan Sabah.
Sabah hari ini sedang mengalami perubahan mendalam dari sudut budaya, sosial dan politik – bukan secara semula jadi, tetapi hasil daripada satu bentuk social engineering yang berlaku secara perlahan tetapi sistematik. Kemasukan warga asing yang diberi sokongan kewarganegaraan tanpa tapisan ketat telah mewujudkan perubahan demografi yang menghakis identiti asal negeri ini.
Perubahan ini membawa beberapa kesan besar:
- Perubahan Komposisi Penduduk: Kawasan-kawasan yang dahulunya didiami oleh majoriti bumiputera Sabah – Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan lain-lain – kini semakin berubah wajah. Populasi yang tidak melalui proses asimilasi budaya atau penyesuaian identiti mula membentuk segmen baharu yang tidak berkongsi nilai sejarah negeri ini.
- Kehilangan Kuasa Politik Tempatan: Apabila warga asing yang diberi kewarganegaraan secara longgar mula menjadi pengundi berdaftar, mereka mula mempengaruhi keputusan pilihan raya. Ini bukan satu dakwaan kosong – ini pernah berlaku. Dan jika dibiarkan, anak negeri Sabah bakal kehilangan suara di negeri sendiri, apabila kuasa politik tidak lagi mencerminkan kehendak penduduk asal, tetapi bergantung kepada pengundi import yang disokong oleh pihak berkepentingan.
Dan apabila ada pemimpin politik menulis nota “sukacita dapat diluluskan” terhadap permohonan sebegini, ia bukan sahaja menghantar isyarat kepada penjawat awam – ia menghantar isyarat kepada seluruh jentera politik bahawa kewarganegaraan boleh dijadikan modal sokongan.
Ini bukan paranoia. Ini adalah realiti sejarah yang sedang berulang.
Ironinya, apabila suara-suara rakyat bangkit bertanya, mereka pula yang dituduh mempolitikkan isu. Tetapi bukankah lebih bahaya apabila kuasa politik digunakan untuk campur tangan dalam perkara yang sepatutnya dijaga dengan ketat oleh undang-undang?
Rakyat hari ini memikul tanggungjawab besar – untuk memastikan kesilapan lalu tidak diulangi. Ada masanya, kita perlu bertegas mempertahankan negeri ini daripada perubahan yang merosakkan akar sejarah dan identiti Sabah.
Sabah tidak boleh dikompromi hanya kerana seseorang “sukacita” melihat dokumen diluluskan.
*Jamain Sarudin merupakan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP)
Add Comment