KOTA KINABALU: Tuduhan Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai gagal, disifatkan tidak berasas, berat sebelah dan bermotif politik semata-mata.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan kenyataan itu bercanggah dengan fakta sebenar kerana pentadbiran Hajiji telah membawa pembangunan besar kepada Sabah dalam lima tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, isu jalan raya, air dan elektrik adalah legasi lama yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu termasuk era UMNO Sabah. Sejak 2021, kerajaan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah memperuntukkan dana khusus untuk menaik taraf jalan luar bandar, mempercepatkan projek empangan dan sistem agihan air serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad dan SESB bagi menstabilkan bekalan elektrik.

“Masalah ini tidak mungkin selesai dalam sekelip mata, tetapi usaha dan projek telah berjalan secara konsisten,” katanya dalam sebuah kenyataan, hari ini.
Mengulas isu kadar pengangguran, Nizam berkata Sabah berdepan cabaran unik kerana keluasan negeri dan pasaran buruh berasaskan sektor tidak formal. Bagaimanapun, data rasmi menunjukkan peluang kerja terus meningkat.
“Antara 2021 hingga 2024, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek, pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” jelasnya.
Pelaburan itu katanya memberi impak langsung terhadap penciptaan peluang kerja dalam sektor minyak & gas, pelancongan, pertanian hiliran dan industri teknologi.
Menyentuh tuduhan pembangkang berhubung lesen mineral, Nizam menegaskan ia hanyalah cubaan untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan isu yang sudah dijelaskan.
“Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur telah menafikan dakwaan itu. Tiada lesen carigali dikeluarkan kepada mana-mana syarikat, malah tindakan undang-undang telah diambil terhadap laporan fitnah tersebut,” katanya.
Beliau turut menolak kenyataan Suhaimi yang menyuruh Hajiji “berehat”, sambil menegaskan bahawa kepimpinan Ketua Menteri telah membawa Sabah kembali ke landasan pembangunan.

“Pentadbiran Hajiji berjaya memacu pelaburan luar dan dalam negeri, meningkatkan hasil negeri termasuk melalui penglibatan langsung dalam Petronas, serta mengukuhkan rizab kewangan Sabah,” katanya.
Nizam menambah, rakyat Sabah masih ingat siapa yang gagal menjaga integriti ketika berkuasa dan siapa yang meninggalkan masalah tanpa penyelesaian.
“Menyerang Hajiji dengan tohmahan tidak akan memadamkan fakta bahawa GRS telah membawa stabiliti politik, mengembalikan keyakinan pelabur dan membuka laluan kepada pembangunan ekonomi mapan untuk masa depan negeri,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment