KINABATANGAN: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, Johainizamshah Johari, membidas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, yang menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan gagal.
Beliau menyifatkan dakwaan itu tidak lebih daripada helah politik untuk menutup kelemahan Suhaimi sendiri dalam membangunkan kawasan Libaran.

Menurut Johainizamshah, Libaran masih berdepan isu kritikal termasuk bekalan air tidak stabil, jalan kampung berlubang, sekolah daif dan hospital yang dijanjikan tetapi belum dibina.
“Rakyat masih simpan air dalam tong, janji tangki besar siap 2026 tetapi empat tahun apa sudah dibuat? Sekolah pun masih daif, 16 buah tiada kemudahan asas. Hospital Sungai Manila pula tinggal janji – pesakit terus tidur di koridor,” katanya.
Beliau turut menyentuh masalah elektrik dan capaian internet yang didakwanya jauh ketinggalan.
“Zaman orang bincang 5G, Libaran masih blackout dan internet siput. Apa kerja YB? Sibuk ambil gambar di media sosial atau betul-betul ambil tindakan?” soalnya.
Johainizamshah menegaskan kenyataan Suhaimi tidak berasas kerana pentadbiran negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah membuktikan pencapaian nyata.
“Pendapatan negeri naik hampir RM7 bilion, rizab mencecah RM8.7 bilion – tertinggi dalam sejarah Sabah. Sebanyak 400 inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dilancar, 94 peratus daripadanya sedang berjalan. Bantuan kebajikan RM1.49 bilion dan Program Sentuhan Kasih RM385.5 juta sudah sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan masalah asas infrastruktur adalah legasi lama yang kini sedang diatasi kerajaan GRS melalui projek mega seperti Pan Borneo, empangan baharu dan penstabilan bekalan elektrik.
Menyentuh isu integriti, Johainizamshah berkata tuduhan terhadap GRS adalah cubaan untuk mengalih perhatian.
“Kami mahu tanya semula – ketua parti mana yang kini berdepan kes mahkamah? Hajiji bersih, tiada rekod mahkamah. Itu fakta,” katanya.
Johainizamshah menambah, rakyat kini cukup matang untuk menilai siapa sebenarnya gagal.
“GRS bukan kerajaan gagal. GRS kerajaan yang bekerja dengan bukti, bukan janji kosong. Kalau Suhaimi kata GRS gagal, jawapan kami jelas Suhaimi lagi gagal urus kawasan sendiri,” tegasnya.
— TAMAT

























Add Comment