Home » RM1.33 Bilion perkasa kecemerlangan akademik anak Sabah
Berita GRS Politik

RM1.33 Bilion perkasa kecemerlangan akademik anak Sabah

Dr.Haji Mohd.Arifin Datuk Mohd.Arif mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cek kepada penerima di Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke 13 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mengutamakan pembangunan pendidikan  dengan memperuntukkan sebanyak RM1.33 bilion bagi pelbagai program dan inisiatif  pendidikan sepanjang tempoh tahun 2021 hingga 2025. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak RM848.26 juta  telah dibelanjakan bagi pelbagai bantuan pendidikan, manakala RM485 juta lagi  diperuntukkan khusus untuk pembangunan modal insan. 

Menurutnya, bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif baharu bernilai  RM164.14 juta telah memberi manfaat kepada kira-kira 210,918 pelajar di seluruh negeri. 

“Kecemerlangan akademik bukan hanya kejayaan individu tetapi aset penting negara.  Kerajaan Negeri komited memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada akses pendidikan  berkualiti,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke 13 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),  pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk  Dr.Haji Mohd.Arifin Datuk Mohd.Arif. 

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan  Teknikal dan Vokasional (TVET) Sabah pada 19 Mei tahun ini sebagai usaha menyelaras  lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional di seluruh negeri, selaras keperluan  pasaran kerja masa hadapan. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menyalurkan insentif tunai RM1,000 kepada 146  pelajar cemerlang STPM 2024, selain seorang pelajar Sabah yang berjaya di peringkat  kebangsaan turut menerima ganjaran RM3,000 sebagai tanda penghargaan. 

Hajiji turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan  Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan mutu dan infrastruktur  pendidikan di Sabah. 

“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk berbincang demi memperkukuh pembangunan  modal insan. Pendidikan kekal sebagai pasport utama masa depan anak-anak Sabah,”  tegasnya. 

Ketua Menteri turut menyeru semua warga pendidikan agar kekal komited dan bekerjasama  secara muafakat dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang serta menjadi  contoh teladan kepada generasi akan datang. 

— TAMAT