Home » Rumah kos rendah dan SMJ lebih sesuai untuk Tongod : Jalilah
Berita GRS Politik

Rumah kos rendah dan SMJ lebih sesuai untuk Tongod : Jalilah

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut, Jalilah Apiang

TONGOD: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut, Jalilah Apiang menegaskan bahawa kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan kepada pembinaan rumah kos rendah dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di daerah Tongod, berbanding rumah mampu milik.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Wanita Warisan Sabah, Nurfaiza Chua, yang mendakwa projek rumah mampu milik dan perkampungan SMJ di Tongod hanyalah “gula-gula politik”, tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

“Rumah mampu milik biasanya dibina di bandar besar dengan harga pasaran antara RM250,000 hingga RM350,000 seunit. Sudah tentu harga sebegini di luar kemampuan penduduk pedalaman seperti Tongod yang rata-rata berpendapatan rendah.

“Sebaliknya, apa yang diumumkan oleh ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah ialah pembinaan 50 unit rumah kos rendah berharga RM47,000 seunit, selain projek perkampungan rumah SMJ yang diberikan secara percuma kepada golongan B40,” katanya.

Jalilah berkata, tapak cadangan bagi rumah kos rendah sudah dikenal pasti dan projek itu dijangka dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bermula awal tahun depan.

Bagi Rumah Mesra SMJ pula, katanya, fasa baharu akan bermula tahun hadapan memandangkan kuota bantuan tahun ini telah diagihkan kepada 40 penerima.

“Kerajaan juga merancang kawasan baharu khusus bagi penerima yang tiada tanah sendiri atau tinggal di kawasan tanpa jalan raya, bekalan air dan elektrik,” jelasnya.

Beliau menasihatkan agar pembangkang tidak mengeluarkan kenyataan tanpa rujukan tepat kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Jika mahu beri cadangan, biarlah berasaskan fakta, bukan sekadar cerita kedai kopi,” tegasnya.

Jalilah menambah bahawa keutamaan kerajaan negeri melalui GRS ialah membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dengan kos yang sesuai, selain meningkatkan akses kepada kemudahan asas.

“Tongod masih dalam fasa pembangunan asas. Fokus kita sekarang adalah memastikan rakyat memiliki rumah mampu bayar serta dibekalkan dengan kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.

“Gagasan Rakyat bersama kepimpinan tempatan akan terus memperjuangkan keperluan rakyat Kuamut dan Tongod, selaras dengan agenda pembangunan negeri,” katanya.

— TAMAT