PAPAR: Semua pihak perlu memahami dan menghormati Sabah yang mempunyai acuan tersendiri dalam menjalin kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpendapat, sebagaimana negeri-negeri lain, Sabah tidak perlu mencontohi model kerjasama di peringkat persekutuan sebagaimana pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, setiap negeri mempunyai komposisi berbeza yang menepati landskap politik masing-masing seperti kerajaan negeri Sarawak dan Johor.
“Lanskap semasa politik negeri perlu diambil kira dan tidak boleh ada paksaan’ bahawa kerjasama perlu tepati sepenuhnya model kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan di antara Umno dan Pakatan Harapan (PH).
“Ini kerana Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada Disember 2022 lalu adalah kerjasama bagi membentuk kerajaan di peringkat persekutuan. Tidak ada dalam MoU itu mewajibkan model sama perlu diikuti di peringkat negeri.
“Tambahan pula, Kerajaan Negeri Sabah hari ini adalah model Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri yang terbentuk setelah penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Ia dibina atas muafakat GRS-PH Plus selepas ada cubaan pihak-pihak yang gagal meruntuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum itu.
“Sekiranya kita boleh hormati model Kerajaan Negeri di Sarawak dan Johor yang berbeza dengan komposisi Kerajaan Perpaduan Persekutuan, mengapa perlu kita paksa Sabah mengikuti sepenuhnya komposisi sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majestic Ballroom 10STAR Cinemas Parklane City dan Sambutan Aidilfitri anjuran 10STAR Cinemas dan Kumpulan WSG di Benoni, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan WSG, Datuk Susan Wong; Ketua Pegawai Eksekutif 10STAR Cinemas Sdn Bhd, Onn Norshal Hamzah dan Pengarah Filem ‘Impak Maksima 2, Datuk Ahmad Idham.
Dalam pada itu, Armizan turut mempersoalkan tindakan pihak yang mahu Sabah menuruti model Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama cuba menukar Kerajaan Negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar memberitahu, sepatutnya dari mula lagi tiada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Hajiji ketika itu, jika benar mereka menghormati komposisi berkenaan.
“Kalau mahu berpegang (model kerjasama kerajaan persekutuan PH-BN), sepatutnya dari awal lagi tiada cubaan untuk jatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji masa itu, barulah kita hormat.
“Kenapa kita (GRS) mahu bekerjasama dengan PH Sabah kerana kita menghargai komitmen mereka yang telah memastikan kerajaan pimpinan Hajiji seterusnya kekal sebagai Ketua Menteri.
“Di peringkat kerajaan GRS-PH Plus, kita dapat saksikan pimpinan mereka dapat bekerjasama dengan baik demi kestabilan Sabah dan paling penting bersama menghargai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan berpendapat tindakan meletakkan faktor dan syarat lain sebagai pertimbangan utama tidak akan memastikan kerjasama politik yang dibentuk akan berjaya dan stabil.
Menurutnya, teras kepada sebarang pembentukan kerjasama politik pada PRN17 seharusnya melibatkan aspek kesediaan dan keserasian pihak-pihak terlibat.
“Ini adalah parameter utama yang patut dijadikan teras perbincangan dan pertimbangan bagi sebarang kerjasama politik, lagi pun PRN17 adalah pilihan raya memilih kerajaan negeri, bukannya memilih kerajaan persekutuan.
“Justeru secara prinsipnya, kita jangan cuba mendahului rakyat untuk memaksa apa yang rakyat perlu pilih,” katanya.
–Kenneddy Corlleus
Add Comment