Home » Sabah fokus bangunkan modal insan, perkukuh TVET
Berita GRS Politik

Sabah fokus bangunkan modal insan, perkukuh TVET

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diwakili oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya bersama Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Haji Bacho Pilong dan jemputan lain bergambar bersama para pelajar yang menerima penajaan pada Majlis Penganugerahan Penajaan Pendidikan PETRONAS Tahun 2025 di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan modal  insan sebagai teras utama dalam menjayakan misi menjadikan Sabah sebagai negeri  maju dan berdaya saing, dengan memberi penekanan khusus kepada pendidikan  teknikal dan latihan vokasional (TVET). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan modal  insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi adalah pelaburan jangka panjang paling  penting untuk memastikan generasi muda Sabah mampu menyumbang secara  langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri. 

“Sabah memerlukan tenaga kerja tempatan yang bukan sahaja berpendidikan tinggi,  tetapi juga berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran industri masa kini.  

“Sebab itu, Kerajaan Negeri memberi penekanan serius terhadap pendidikan dan  latihan kemahiran melalui pelbagai inisiatif,” katanya pada Majlis Penyampaian  Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2025 di The Magellan Sutera Resort, di  sini, pada Isnin. 

Hajiji turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PETRONAS  kerana terus komited membangunkan modal insan di Sabah menerusi pelbagai program  pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti. 

“Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 memberikan  penekanan yang serius terhadap pembangunan modal insan. Saya yakin dengan  melabur dalam pendidikan dan pembangunan belia Sabah, PETRONAS turut  membantu negeri ini membina asas masa depan yang lebih berdaya tahan, berdaya  saing dan inklusif. 

“Menerusi usaha berterusan ini, kita dapat melihat lebih ramai anak-anak Sabah  memasuki bidang kemahiran seterusnya membantu dalam pembangunan negeri ini,”  katanya. 

Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0, Kerajaan Negeri  telah memperuntukkan RM1.33 bilion untuk membangunkan modal insan, termasuk  RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program  pembangunan bakat serta kemahiran.

“Kita tidak mahu hanya membina bangunan dan infrastruktur, tetapi yang lebih penting  adalah membina kapasiti dan kualiti rakyat Sabah itu sendiri,” tegasnya. 

Dalam usaha memperkasa bidang TVET, Hajiji berkata Sabah kini menyaksikan  perkembangan membanggakan menerusi pengiktirafan Pusat Latihan Petroleum  Kimanis (KTC) sebagai institusi berakreditasi di bawah Kod Amalan Pentauliahan  Program TVET (COPTPA). 

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan KTC dalam menyediakan latihan  bertaraf tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri, khususnya dalam sektor  minyak dan gas. 

“Seramai 20 pelatih baharu akan memulakan program Diploma Kemahiran Malaysia di  KTC, menandakan keyakinan berterusan terhadap keupayaan institusi ini melahirkan  tenaga kerja mahir untuk sektor minyak dan gas serta sektor lain yang sedang  berkembang pesat,” katanya. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mahu melihat lebih ramai belia Sabah menceburi  bidang teknikal bukan sahaja untuk memenuhi keperluan sektor tradisional seperti  pembinaan dan perindustrian, malah turut bersaing dalam bidang baharu seperti  ekonomi digital, pelancongan dan pertanian moden. 

“TVET adalah pilihan dan laluan utama kepada kerjaya yang stabil dan bernilai tinggi  dalam ekonomi masa hadapan,” ujarnya. 

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan  menyokong pembangunan pendidikan dan latihan di Sabah, termasuk Anugerah  Penajaan Pendidikan PETRONAS dan Biasiswa Kecil PETRONAS untuk pelajar  sekolah menengah. 

“Program seperti ini bukan sekadar penghargaan kepada usaha pelajar, malah menjadi  pemangkin semangat untuk terus belajar dan berjaya. PETRONAS bukan sahaja  menyumbang kepada pembangunan industri, tetapi juga memainkan peranan penting  dalam membentuk masa depan Sabah,” katanya. 

Beliau berharap inisiatif pendidikan dan latihan yang diterajui PETRONAS akan terus  diperluaskan, seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri menjadikan pembangunan  modal insan sebagai keutamaan jangka panjang. 

“Saya yakin, dengan sinergi kukuh antara Kerajaan Negeri dan pihak industri, Sabah  berada di landasan yang betul untuk membina masa depan yang lebih berdaya tahan,  inklusif dan kompetitif,” katanya. 

–Tamat